KUALA LUMPUR - Ketua AMK, Datuk Adam Rosly Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebentar tadi atas enam pertuduhan memberi pernyataan dan dokumen palsu dalam siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adam Rosly, 30, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan hakim Allaudeen Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, ahli perniagaan itu didakwa memberi pernyataan palsu ketika percakapannya dirakam oleh dua pegawai SPRM.

[ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Adam Rosly dipanggil ke SPRM lagi]

Pernyataan itu berhubung kerjaya beliau sebagai pengarah sebuah syarikat, sumber pendapatan dan pembelian sebuah rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang secara tunai.

Adam Rosly menyebut beliau mendapat sumber kewangan untuk membeli banglo tersebut melalui pinjaman wang daripada dua ahlong, pemberian keluarga, hasil jualan kereta serta hasil perniagaan.

Bagi kesalahan itu dakwaan dibuat mengikut Seksyen 32 (8)(c) Akta Pencegahan Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (8) akta sama.

Sementara itu bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, Adam Rosly didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucer tunai daripada syarikatnya Gegas Mentari Holdings Sdn Bhd untuk memperdaya pegawai penyiasat berkenaan. 

Kesalahan itu pula dibuat mengikut Seksyen 32 (8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613).

Kedua-dua kesalahan itu membawa hukuman denda tidak lebih RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 10 Feb 2017 antara jam 10 pagi hingga 12.15 tengah hari.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib pada mulanya membantah jaminan ke atas tertuduh namum menawarkan RM400,000 sekiranya mahkmah mempertimbangkan untuk memberikan jaminan.

Peguam Ahmad Zaidi Zainal memohon jumlah jaminan sebanyak RM150,000 kesalahan yang dilakukan tidak serius selain mempunyai pendapatan yang tidak seberapa.

Mahkamah membenarkan ahli perniagaan itu diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan untuk menyerahkan pasport ke mahkamah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menolong menyembunyikan atau mengalihkan wang tunai berjumlah lebih RM50,000 milik seorang lelaki pada Mei tahun lepas.
  • PUTRAJAYA - Seorang guru lelaki di sebuah sekolah rendah didakwa di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di sini hari ini atas pertuduhan melakukan seksual fizikal terhadap murid lelaki berumur sembilan tahun.
  • SEREMBAN - Seorang lelaki yang cuba melepaskan diri daripada ditahan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan ​​​​​enam kenderaan di Nilai Isnin lalu, dituduh di Mahkamah Majistret Khas Trafik di sini, hari ini.
  • PUTRAJAYA - Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kekayaan luar biasa yang dimilikinya.