SANDAKAN - Berlaku 31 kemalangan di sekolah di negara ini dalam tempoh lepas tahun lepas termasuk kematian pelajar akibat ditimpa tiang gol dan kipas siling.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara  (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, insiden lain termasuk kes pelajar terdedah kepada bahan kimia merbahaya serta merkuri di makmal sekolah.

Beliau percaya jumlah sebenar kemalangan di sekolah lebih tinggi kerana ada sekolah yang tidak membuat laporan kerana menganggap kes terbabit agak kecil.

"Insiden sebegini boleh dielakkan jika semua sekolah mengamalkan budaya KKP yang baik dan melakukan audit keselamatan dengan kerap seperti yang dianjurkan oleh NIOSH," katanya pada majlis pelancaran program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Sekolah Menengah Kebangsaan Merpati di sini hari ini.

Program ditaja Sabah Energy Corporation Sdn Bhd itu dirasmikan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Zakaria Mohd Edris.

Lam Thye berkata, amalan KKP yang baik adalah penting untuk mengelak kemalangan termasuk yang melibatkan maut di 10,000 buah sekolah di negara ini yang mempunyai kira-kira lima juta pelajar dan 500,000 guru.

Katanya, sehingga kini sebanyak 50 sekolah telah menyertai program KKP di sekolah apabila Kementerian Sumber Manusia menjalankan kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia turut menasihatkan semua sekolah yang mempunyai lebih 40 kakitangan supaya membentuk jawatankuasa KKP masing-masing.

Katanya, keperluan itu termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan kementerian diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak melaksanakannya termasuk di sekolah atau tapak pembinaan.

Sementara itu, Zakaria dalam ucapannya berkata kewujudan bahaya di sekolah tidak dapat dinafikan dan ianya merupakan satu perkara yang serius sekiranya tidak dititikberatkan dan mendapat kerjasama bagi mengelakkan daripada berlaku oleh semua pihak.  

Justeru, katanya pihak sekolah digalakkan mengambil inisiatif melaksanakan aktiviti pemeriksaan tempat kerja secara berkala bagi mengenal pasti bahaya dan seterusnya menilai serta mengawal risiko yang wujud daripada bahaya tersebut.

Beliau berkata, mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan sihat bukanlah tanggungjawab guru dan kakitangan sekolah sahaja sebaliknya pelajar juga harus memainkan peranan. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.