GEORGETOWN - Tiga anggota polis yang didakwa merogol seorang pembantu kedai warganegara Indonesia pada Jumaat lalu ditahan kerja sementara siasatan sudah 95 peratus selesai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan sudah menahan ketiga-tiga anggota berpangkat rendah itu.

“Setakat ini, kita sudah merekod 10 keterangan daripada saksi kejadian dan polis sedang menunggu laporan kimia dan laporan perubatan untuk mendakwa ketiga-tiga anggota itu di mahkamah. Sehingga kini, mereka ditahan kerja untuk siasatan dijalankan ke atas mereka.

“Setakat hari ini, 95 peratus siasatan sudah siap. Kita akan tunggu pihak Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan perintah untuk mendakwa ketiga-tiga anggota ini,” katanya pada media hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan menjalankan siasatan dengan telus walaupun melibatkan anggota polis.

“Kita sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk mempercepatkan siasatan dan siasatan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan. Jika dilihat dari tempoh tangkapan dibuat, kita menahan ketiga-tiga anggota berkenaan sehari selepas laporan dibuat mangsa.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan. Kita mengharapkan agar tidak ada pihak yang membuat spekulasi yang boleh mengganggu hubungan diantara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, pemangku Konsul Jeneral Indonesia Pulau Pinang, Sofiana Mufidah berkata, pihaknya mengharapkan siasatan yang telus dan mengikut prosedur dalam kes itu sehingga ia selesai.

“Kita mengharapkan ia (siasatan) diadakan dengan baik dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak yang salah walaupun melibatkan anggota PDRM. Kita juga meminta rakyat Indonesia supaya bertenang dan mengawal emosi.

“Pihak konsul faham, dengan berlakunya kejadian sebegini, ia sedikit sebanyak menyentuh perasaan masyarakat Indonesia (di Malaysia atau di Indonesia), namun kita perlu menangani masalah ini dengan tenang dan perlu mempercayai PDRM dalam menjalankan siasatan. Kita berharap agar kes ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sofiana berkata, mangsa kini berada di pejabat konsul Indonesia di Pulau Pinang sementara menunggu sehingga kes berkenaan selesai.

Sabtu lalu, seorang pekerja kedai makan warga Indonesia berusia 25 tahun mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir oleh tiga anggota polis di sebuah balai di Bukit Mertajam selepas menahannya di kawasan perumahan kira-kira jam 6.20 pagi Jumaat lalu.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Seorang pemandu Uber dicekup selepas dipercayai terlibat dalam 20 kes mencuri barang berharga jemaah lain di Masjid Al Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM) petang semalam.
  • GEORGETOWN - Empat dipercayai sekeluarga termasuk dua kanak-kanak ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran rumah jenis kluster dua tingkat di Pintasan Cecil 5, Pengkalan Weld, di sini awal pagi ini.
  • GEORGETOWN - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 Mac tahun depan sebagai tarikh pengurusan semula bagi kes rasuah membabitkan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.
  • GEORGETOWN - Sejumlah 1,313 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Pulau Pinang berbanding 1,987 orang pagi tadi.
  • GEORGETOWN - Seramai 35 orang termasuk dua kanak-kanak terdiri daripada penduduk dan pekerja di Bukit Bendera terperangkap di kawasan itu sejak Sabtu lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.