WANG KELIAN - [DIKEMASKINI] Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan 139 kubur dan 28 kem berkaitan isu pemerdagangan manusia yang ditinggalkan, ditemukan dalam kawasan Malaysia di Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata, penemuan kubur itu termasuk satu kawasan perkuburan dan mayat yang reput yang hanya tinggal kulit dan tulang sahaja, dipercayai ditinggalkan tidak sampai dua minggu.

Bercakap kepada pemberita Malaysia dan asing di sini hari ini, beliau berkata penemuan itu hasil 'Op Wawasan Khas JKDNKA 2015' oleh 300 anggota polis komando VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dari 11 Mei hingga Sabtu lepas.

"Pendedahan ini membuktikan kerajaan Malaysia bersikap telus dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat membabitkan isu pemerdagangan manusia," kata Khalid.

Menurutnya reka bentuk kem berkenaan yang dipagar dan sentri menggambarkan ia dikawal dan orang-orang yang hendak diseludup tidak bebas bergerak.

"Secara fakta kem-kem ini ditemui, ada yang dipercayai diduduki sejak 2013 dan terbaru dua kem ditinggalkan antara dua hingga tiga minggu lepas.     

"Polis masih belum dapat memastikan sama ada semua kubur ini mengandungi mayat manusia atau tidak sehingga semuanya digali," katanya.
    
Khalid berkata operasi itu dilancarkan susulan penemuan beberapa kubur besar mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing membabitkan sindiket pemerdagangan manusia ditemukan pihak berkuasa Thailand di sekitar Padang Besar dan Songkhla, baru-baru ini.
    
Menurutnya kumpulan mayat pertama dijangka dapat dikeluarkan petang ini oleh pasukan forensik terdiri 31 orang yang memasuki kawasan kem tersebut pagi ini.
    
Katanya kawasan pencarian dalam operasi itu di bahagikan kepada sektor A, B dan C sepanjang 59.5 kilometer dari Kampung Wai dekat sini hingga tembok terakhir atau Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar.

"Keadaan di sektor A (Tangga 100 ke Wang Kelian) sepanjang 11 kilometer di sebelah Malaysia adalah berbukit dan tebing sangat curam. Dalam sektor inilah semua 28 kem haram ini ditemui tetapi tiada lorong atau kesan dilalui orang.
    
"Sektor B (Wang Kelian-Kurong Batang) sepanjang 24 kilometer terlalu sukar untuk dimasuki. Sektor C (Kurong Batang-Kampung Wai) pula sepanjang 14.5 kilometer adalah kampung dan sawah. Sebab itu aktiviti hanya berlaku di sektor A," katanya.
    
Khalid berkata, beberapa tangkapan membabitkan penyeludup tempatan dibuat di Kampung Wai.
    
Katanya kedudukan kem haram tersebut kira-kira 100 meter dalam kawasan Malaysia dari sempadan Malaysia/Thailand manakala yang ditemukan pihak berkuasa Thailand dalam kawasan negara itu antara 300 hingga 500 meter dari sempadan.
    
Menurutnya, setiap kem itu dibina untuk menempatkan sehingga 200 orang, 10 hingga 20 orang dan ada yang menempatkan dua orang sahaja.
    
"Maklumat-maklumat yang diperolehi menunjukkan sindiket membawa masuk tahanan mereka ke Malaysia melalui jalan yang sah atau lorong-lorong tikus di Padang Besar atau Wang Kelian selepas mendapat bayaran daripada orang-orang tertentu," katanya.
    
Ketua Polis Negara berkata mayat yang dikeluarkan nanti akan dibedah siasat untuk menentukan punca kematian dan akan 'disempurnakan' dan diberi penghormatan sebaik-baiknya.
    
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata 90 peratus dari 37 orang yang ditangkap tahun ini kerana terbabit dengan pemerdagangan manusia adalah penduduk Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.
    
Katanya jumlah tangkapan pendatang asing tanpa izin di sempadan Perlis tahun lepas sebanyak 1,914 orang manakala dari Januari hingga April lepas berjumlah 1,305 orang.
    
"Tangkapan di sempadan Kedah pula berjumlah 2,094 tahun lepas, Kelantan (3,462 orang) dan Perak (966 orang) manakala dari Januari hingga April tahun ini sebanyak 853 orang (Kedah), 498 orang (Perak) dan 88 orang (Kelantan)," katanya.
    
Sementara itu, Pemerintah Rejimen Ke-9 Thailand Mejar Jeneral Ekaphop Prasitwattanchai yang turut hadir, berkata pihak berkuasa Thailand akan memberi kerjasama penuh termasuk pertukaran maklumat dengan Malaysia.
    
"Kami juga seperti Malaysia berazam membanteras perbuatan tidak berperikemanusiaan dan pemerdagangan manusia khususnya di kawasan sempadan kedua-dua negara," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan majlis pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya dan lawatan delegasi khas ke Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
  • KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melatih pegawai perubatan termasuk doktor daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan fasiliti di hospital medan yang akan ditempatkan di kem pelarian etnik Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.
  • SEPANG - Penderitaan pelarian etnik Rohingya terus mendapat perhatian dunia.
  • TAIPING - Bayi lelaki warga Rohingya berusia sebulan antara 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi ke atas dua tapak pembinaan oleh Jabatan Imigresen di sini, malam tadi.
  • PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan perjalanan yang tidak perlu disegerakan ke negeri Rakhine, Myanmar susulan kejadian keganasan yang semakin memuncak, menurut Kementerian Luar.