BESTARI JAYA - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan kemungkinan berlaku amalan politik wang pada pemilihan parti berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya perlu mencari bukti mencukupi sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Mengguna wang untuk membeli undi adalah kerja haprak yang akan merosakkan parti," katanya ketika menjawab pertanyaan seorang penuntut Universiti Selangor (Unisel) berhubung kemungkinan wujud amalan politik wang pada pemilihan parti itu.

Beliau hadir pada Program Bersama YB Datuk Seri Anwar Ibrahim anjuran bersama Unisel dan Anwar Ibrahim Club di Dewan Canselor Unisel Kampus Bestari Jaya, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, pemimpin yang mengamalkan politik wang sebenarnya tidak mempunyai keyakinan dan keistimewaan.

"Apa hebatnya kamu?. Kamu tak hebat sebab akhlak kamu rendah.

"Kamu hanya mampu raih sokongan kerana kamu ada wang...itu bukan reformasi," katanya.

Ujar beliau, parti itu sentiasa sedaya-upaya melakukan perubahan dan tidak sesekali mengizinkan perkara itu berlaku.

"Di antara perubahannya ialah menghentikan cara membeli orang (undi), mengugut, bersikap angkuh dan penyalahgunaan kuasa kerana kita sudah lawan 20 tahun sistem ini," katanya.

Dalam soal jawab sebelumnya, Anwar turut menyentuh perkara tersebut dan sentiasa memberi amaran kepada ahli parti.

"Masa kita susah, kita melaungkan reformasi, selawat dan sebagainya.

"Tetapi, sebaik sahaja ada jawatan, kita mudah terjebak dengan cara lama dan mula bersikap sombong, angkuh, ugut orang dan salah guna kuasa," katanya.

Justeru, tegasnya, pimpinan dan ahli parti perlu diperkuat dengan keyakinan agama yang tinggi agar tidak terjebak dengan amalan kotor yang hanya merosakkan parti.

"Kita ambil contoh besi, sekuat besi kalau dibiarkan kena air, ia karat juga.

"Jadi, caranya kena selalu sapu dengan minyak walaupun berada dalam air.

 

"Begitu juga dengan manusia, perlu ada keyakinan agama, nilai spiritual, ibadat dan zikir," katanya.