Jangan langgar 'tiga garis merah', bukan tiket percuma lunakkan prinsip UMNO

KUALA LUMPUR - UMNO mengingatkan bahawa sebarang kerjasama politik sama ada dalam Kerajaan Perpaduan atau pakatan pada masa hadapan supaya tidak melanggar 'tiga garis merah'.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bukanlah tiket percuma untuk mana-mana pihak untuk melunakkan prinsip asal parti berkenaan.
"Garis merah itu ialah hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera; kesucian agama Islam dan kedaulatan Raja Melayu.
"Kita perlu menghantar isyarat yang jelas, keras dan tuntas, khususnya kepada golongan berhaluan kiri, kelompok liberal atau sekutu politik yang cuba menangguk di air keruh.
"Jangan sesekali cabar garis merah (Red Line) ini," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohamad turut memperingatkan rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan supaya jangan menyangka parti itu berada dalam satu Kabinet, UMNO sudah tumpul taringnya.
"Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. UMNO tidak akan diam membisu.
"Kita akan bangun, kita akan bersuara, dan kita akan menentang habis-habisan sesiapa jua, kawan atau lawan, yang cuba merobek tiga teras utama ini.
"Ini adalah amaran keras. Kita bersedia bekerjasama demi rakyat dan demi negara, tetapi jika tangan-tangan gatal mula menyentuh agama, bangsa dan raja kami, tangan itu akan kami tepis dengan segala kekuatan yang ada," katanya
Tambahnya, politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip itu kekal mati bersama UMNO.
Ringkasan AI
- UMNO menetapkan 'tiga garis merah' dalam kerjasama politik; hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, kesucian agama Islam, dan kedaulatan Raja Melayu
- Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kerjasama politik bukan tiket percuma untuk melunakkan prinsip parti
- UMNO mengirim isyarat keras kepada golongan berhaluan kiri dan liberal agar tidak mencabar 'tiga garis merah'
- Mohamad memperingatkan dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO tidak akan pejam mata terhadap ancaman terhadap asas negara
- Politik dan gabungan boleh berubah tetapi prinsip akan kekal bersama UMNO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
