Tok Mat sifatkan UMNO sebagai 'sauh' elak negara karam

Mohamad (kiri) berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur pada malam Rabu. Foto Bernama
Mohamad (kiri) berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur pada malam Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan bagi mengekalkan kestabilan negara, diibaratkan sebagai 'sauh' yang mengelakkan negara daripada karam.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga mengakui kedudukan parti itu dalam kerajaan dipersoalkan.

"Dalam keadaan dunia bergolak dan rakyat marah, ramai yang bertanya, malah ada yang sinis 'kenapa UMNO masih tebal muka dalam kerajaan ini?

"Kenapa duduk semeja dengan seteru lama? Adakah UMNO sudah gila kuasa?," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Beliau menjelaskan Pasca PRU15, UMNO sebenarnya sudah bersedia untuk menjadi pembangkang malah menerima hukuman daripada rakyat dengan hati terbuka.

Katanya, parti itu mahu berehat untuk bina semula kekuatan dari bawah, namun takdir ALLAH dan tuntutan negara mengatasi kehendak parti.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu memanggil kita. Negara sedang 'tergantung', Parlimen tergantung. Politik di ambang huru-hara. Ekonomi rakyat mula terancam.

"Pada saat genting itulah, Tuanku bertitah meminta UMNO, walaupun kerusi kita tak banyak untuk bantu tubuhkan kerajaan demi menyelamatkan negara.

"Kita masuk Kabinet untuk bina kestabilan, saudara-saudari sekalian. Kita adalah 'sauh' yang memastikan kapal negara tidak karam," katanya.

Tambah beliau, menguruskan negara adalah mengenai membaca, memahami dan menterjemahkan keperluan Malaysia dengan cara terbaik dan paling cermat agar generasi hari ini menerima manfaat dan generasi masa depan tidak kehilangan tempat.

"Jadi, menguruskan negara itu, pada saya secara ringkasnya, adalah tentang bagaimana UMNO memaksimumkan kedudukan kita sebagai kuasa pertengahan dan pengimbang dan bertindak sebagai parti politik yang bertanggungjawab.

"Malam ini saya mahu pesan: Marah mesti bersulam strategi. Berani mesti bersulam tanggungjawab," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan kestabilan negara
  • Timbalan Presiden UMNO mengakui kedudukan parti dalam kerajaan dipersoalkan
  • Pasca-PRU15, UMNO bersedia menjadi Pembangkang dan menerima hukuman dari rakyat
  • Situasi negara yang tidak stabil menyebabkan UMNO dipanggil untuk membantu membentuk kerajaan
  • Misi UMNO dalam kerajaan adalah untuk memastikan kestabilan dan manfaat untuk generasi kini dan masa depan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!