RAUB - Penyertaan dalam pasukan uniform Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memberi peluang kepada tiga rakan berlainan bangsa untuk berbakti kepada masyarakat setempat.

A Panimalar, 50; Hanisah Jalil, 53 dan Lim Ah Keow, 62, menzahirkan rasa gembira dan teruja kerana dapat melibatkan diri dalam  aktiviti berbentuk program atau menerusi khidmat sosial sekiranya berlaku sebarang musibah yang memerlukan khidmat anggota Rela.

Mereka turut berbangga menyarung uniform Rela kerana dapat menjalankan tugas dengan baik serta berbakti kepada masyarakat setempat.

Bantu ramai orang

Bagi Panimalar, tugas sebagai anggota sukarelawan memberinya ruang untuk bertemu dengan orang ramai tanpa kira peringkat umur, bangsa dan keturunan.

Beliau yang telah menyertai pasukan Rela sejak 12 tahun lalu mempunyai banyak pengalaman khususnya sewaktu operasi menyelamat.

Menurutnya, Rela merupakan agensi yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat selain mempunyai hubungan yang rapat dengan penduduk.

Panimalar (kanan) membetulkan beret milik Hanisah.

“Selepas menyertai pasukan Rela saya sering menyertai operasi menyelamat seperti kejadian banjir, masuk hutan serta turut terbabit sekiranya berlaku kejadian kemalangan jalan raya.

“Sebagai anggota Rela, saya perlu bersedia berkorban demi menyelamatkan nyawa orang lain. Asal usul, bangsa, agama dan pegangan politik saya perlu tolak ke tepi kerana yang menjadi keutamaan ialah menyelamatkan nyawa,” katanya di sini baru-baru ini.

Pupuk perpaduan menerusi aktiviti sukarelawan

Sementara itu, Hanisah berkata, melalui tugas sukarelawan selaku anggota Rela seperti menjaga lalu lintas sewaktu sesebuah program berlangsung dilihat mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Jelasnya, menerusi aktiviti seperti itu juga dapat menghidupkan amalan kerjasama serta permuafakatan yang baik.

“Selaku anggota Rela sudah pastinya kami melakukan kerja secara sukarela demi keharmonian masyarakat tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Melalui penglibatan dalam aktiviti berbentuk sukarelawan juga dapat membuka mata kita tentang kesusahan hidup orang lain khususnya mereka yang ditimpa musibah,” katanya.

Jaga hubungan baik

Dalam pada itu, Ah Keow berkata, sebagai masyarakat majmuk yang tinggal dalam sebuah negara yang aman harmoni, seharusnya penduduk menjaga sensitiviti masyarakat lain khususnya membabitkan agama dan kepercayaan.

Jelasnya, selaku anggota Rela seharusnya perlu memelihara, meningkat dan memperkukuhkan perpaduan serta keharmonian masyarakat di Malaysia.

“Sikap saling menghormati antara satu sama lain merupakan kunci penting dalam menjaga hubungan baik sesama anggota Rela serta komuniti setempat.

“Keamanan dan keharmonian negara yang sedang kita nikmati sekarang sewajarnya dijaga serta dipelihara. Kita tinggal dalam kelompok masyarakat berbilang kaum seharusnya hidup bersatu padu,” katanya.