Dana rakyat Malaysia bantu bekal air bersih kepada penduduk Afghanistan

Bantuan makanan turut diagihkan kepada 150 keluarga dari beberapa perkampungan berdekatan dan terkesan dengan tragedi gempa bumi itu.
Bantuan makanan turut diagihkan kepada 150 keluarga dari beberapa perkampungan berdekatan dan terkesan dengan tragedi gempa bumi itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 250 penduduk daripada 45 keluarga yang terkesan dengan tragedi gempa bumi di barat Afghanistan pada tahun lepas kini mampu menarik nafas lega apabila perkampungan baharu mereka bakal dilengkapi dengan sistem bekalan air bersih dan tenaga solar.

Global Peace Mission (GPM) Malaysia berkata, sejak gempa bumi berlaku, pelbagai jenis bantuan telah disalurkan sebagai tanda keprihatinan dunia kepada masyarakat di wilayah Herat.

Ujarnya, ia termasuk bantuan daripada rakyat Malaysia menerusi dana Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN).

"Sumbangan daripada TBKLN dimanfaatkan oleh GPM bagi menyalurkan bekalan air bersih melalui projek penggalian perigi air di Kampung Chang Kalo. Kawasan itu agak berbukit dan mengambil masa lebih kurang satu jam setengah perjalanan untuk sampai dari bandar Herat.

"Selain itu, bantuan makanan turut diagihkan kepada 150 keluarga yang datang dari beberapa perkampungan berdekatan dan terkesan dengan tragedi gempa bumi itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, kejadian empat kali gempa bumi berskala besar mengorbankan lebih 2,000 mangsa dan mencederakan ribuan lagi penduduk Afghanistan.

Gempa bumi sama telah meranapkan sebahagian besar kampung-kampung yang terdapat di Zindajan, Herat dan tidak lagi selamat untuk didiami.

Tambah kenyataan itu, masih ramai penduduk terpaksa tinggal di dalam khemah yang dibangunkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) sama ada daripada tempatan mahupun antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengaktifan semula Pusat Kemanusiaan Malaysia yang dibuka oleh GPM di Kabul wajar dinilai kembali setelah ia terpaksa ditutup pada 2023 akibat kekurangan dana.

"Pusat ini penting bagi memastikan usaha bantuan kemanusiaan yang digerakkan oleh Malaysia dapat diselaraskan dengan baik dan sempurna di samping dapat benar-benar menilai keperluan semasa masyarakat di Afghanistan.

"Ini kerana dua pertiga penduduk di negara itu dihimpit masalah kemiskinan di samping ancaman bencana alam, keadaan ekonomi belum pulih dan pelbagai perihal kemanusiaan lain yang perlu diberikan perhatian," jelasnya.

GPM turut memberitahu, misi bantuan kemanusiaan di Afghanistan pada kali ini akan turut mengagihkan sumbangan keperluan al-Quran kepada pelajar perempuan di sebuah madrasah yang terletak di Jalalabad, di samping bantuan pembangunan pendidikan anak-anak yatim termasuk keperluan fasiliti kesihatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!