KKM kekal pendirian pinda Akta 50 - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly (kiri) mengadakan sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Fasiliti Kesihatan di Hospital Kuala Kubu Baharu pada Jumaat. Foto Bernama
Dr Dzulkefly (kiri) mengadakan sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Fasiliti Kesihatan di Hospital Kuala Kubu Baharu pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

HULU SELANGOR - Kementerian Kesihatan (KKM) kekal dengan pendirian untuk meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) mengenai Program Parallel Pathway (PPP), meskipun terdapat tentangan segelintir pihak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu turut dipersetujui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui sesi libat urus yang dijalankan sebelum ini.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi membolehkan pelatih yang menyelesaikan program itu dengan jayanya, mendaftar sebagai pakar di bawah akta berkenaan.

"Siapa pun boleh bagi pandangan tapi akhirnya nanti apabila kita siap memorandum, kita akan bentang.

"Apa yang penting KKM dan KPT mempunyai pendirian yang sama. Kita kena laksanakan (pinda Akta 50) dan jalankan apa yang telah ditetapkan bersama dengan meletakkan rujukan Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas Lawatan Rasmi ke Fasiliti Kesihatan di Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB) di sini, pada Jumaat.

Dr Dzulkefly (tengah) meninjau peralatan bilik X-Ray ketika mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Fasiliti Kesihatan di Hospital Kuala Kubu Baharu pada Jumaat. Foto Bernama
Dr Dzulkefly (tengah) meninjau peralatan bilik X-Ray ketika mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Fasiliti Kesihatan di Hospital Kuala Kubu Baharu pada Jumaat. Foto Bernama

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Kumpulan Profesor Kesihatan dan Perubatan, Profesor Dr Noor Hassim Ismail yang berpandangan tiada keperluan untuk meminda Akta 50 bagi mengatasi jurang antara PPP dan Program Sarjana Perubatan tempatan.

Jelas Noor Hassim, pihaknya tidak jelas dengan merit bagi meminda Akta 50 bagi menampung pendaftaran doktor di bawah program 'Parallel Pathway' itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly memaklumkan KKM akan menambah baik kemudahan di Hospital Kuala Kubu Bharu bagi mengurangkan jumlah kesesakkan pesakit di Hospital Selayang.

Ujarnya, antara yang akan dilaksanakan ialah menempatkan doktor pakar dan naik taraf Jabatan Kecemasan, unit farmasi serta penyediaan kawasan parkir kenderaan.

"Saya juga dapat memerhatikan prestasi kesemua klinik, pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Hospital KKB walaupun bukan pakar tapi hari ini beberapa tindakan dan perancangan yang baik telah mengangkat prestasinya.

“Antara lainnya dengan menempatkan pakar perubatan kecemasan, tambah pakar perubatan jabatan am sebagai jawatan tetap di sini. Sebelum ini, contohnya pakar Neorologi dari Hospital Selayang akan datang sebulan sekali ke sini begitu juga dengan pakar-pakar yang lain," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!