Gelombang haba bawa derita baharu dan risiko penyakit ke Rafah

Kanak-kanak Palestin menunggu bantuan bekalan air dalam suasana cuaca panas di Rafah. Foto AFP
Kanak-kanak Palestin menunggu bantuan bekalan air dalam suasana cuaca panas di Rafah. Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan suhu melampau luar jangka di seluruh Gaza menambah derita yang dihadapi warga Palestin setiap hari di semenanjung itu dan mencetuskan kebimbangan penularan penyakit di tengah-tengah kekurangan air bersih dan sistem pembuangan sisa pepejal, kata agensi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut laman sesawang PBB, news.un.org amaran daripada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), kira-kira 1.2 juta penduduk terus datang berlindung dalam khemah di dalam dan luar Rafah bandar paling selatan di Gaza dengan tiada tempat lain untuk dituju.

"Ia bagaikan tinggal di dalam rumah kaca, tiada siapa yang sanggup tinggal di dalamnya, kata agensi PBB itu memetik Mustafa Radwan dari Bandaraya Gaza dalam hantarannya di media sosial X (dahulunya Twitter).

Radwan berkata, dengan suhu berlegar sekitar 40 darjah Celcius, penduduk Rafah sedar keadaan boleh menjadi tidak selesa apabila musim panas tiba dengan suhu boleh mencecah 50 atau 60 darjah Celcius.

Beliau berkata air bersih masih kurang di Rafah dan beratur panjang merupakan realiti seharian.

"Setiap satunya ialah ialah barisan, setiap satu menderita hidup tanpa kediaman,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan bantuan PBB melaporkan tiada misi bantuan kemanusiaan boleh dihantar di utara Gaza pada Rabu kerana tentera Israel menutup pusat pemeriksaannya pada dua batang jalan yang dilalui tentera.

Bagaimanapun, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dan misi Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sampai di Jabalia pada Selasa, memberikan bantuan perubatan dan perawatan air.

Artikel Berkaitan:

UNRWA juga melaporkan ia berjaya mengubah sebuah pusat asuhan kanak-kanak kepada sebuah kemudahan kesihatan yang berfungsi di Mawasi, kawasan yang musnah di bandar Khan Younis.

Klinik yang baharu muncul itu menerima 2,000 individu sehari dan menawarkan perkhidmatan merawat penyakit kronik sehingga penjagaan ibu dan dan kanak-kanak, perkhidmatan gigi dan kaunseling psikologi.

"Dengan ketibaan musim panas, kesulitan meningkat daripada kekurangan air dan kesesakan membawa kepada penyebaran penyakit berjangkit, kulit sensitif, kutu dan lain-lain penyakit,” kata Pengarah Klinik itu Dr. Ahmed Hanouda.

Beliau berkata pihaknya berusaha untuk mengatasi masalah ini dan menyediakan perkhidmatan kepada mereka yang hilang tempat tinggal dan menghadapi suasana mencabar ini dengan sumber yang ada.

"Kami berusaha untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan menyediakan kemudahan yang baik pada hari mendatang,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!