Pemilik stesen minyak diminta lapor KPDN jika diancam sindiket

Armizan. Foto Bernama
Armizan. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik stesen minyak yang diancam sindiket penyeludupan diesel bersubsidi disaran membuat laporan secara rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kata Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, KPDN akan merahsiakan maklumat diterima kerana sedar ada pemilik stesen minyak yang enggan membuat laporan walaupun diancam kerana khuatir dengan keselamatan diri, pekerja atau premis mereka jika membuat aduan.

"Kita merayu, buatlah laporan kepada polis atau KPDN kerana tujuan kita untuk meningkatkan penguatkuasaan dan tangkapan kes penyeludupan diesel ini.

"Kes penyeludupan diesel yang berleluasa sebelum ini perlu dikekang, jadi kita perlu mendapatkan maklumat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) di sini pada Jumaat.

Armizan memohon semua pihak terlibat memberikan kerjasama kerana ketirisan subsidi diesel oleh pihak tidak bertanggungjawab merupakan sabotaj terhadap usaha kerajaan meringankan kos sara hidup rakyat menerusi pemberian subsidi bahan api itu.

Pada Selasa lepas, media melaporkan Armizan sebagai berkata, terdapat pemilik stesen minyak diugut oleh sindiket penyeludupan jika tidak membenarkan penjualan bahan api itu kepada kenderaan yang terlalu kerap mengisinya.

Hari ini, beliau mengesahkan ada pemilik stesen minyak membuat laporan mendakwa mereka diancam sindiket tersebut dengan mengugut mahu membakar atau merosakkan fasiliti di stesen minyak terlibat.

Selain KPDN, terdapat laporan dibuat kepada polis dan Armizan berkata, pihaknya sedang mengumpulkan laporan supaya siasatan serta tindakan dapat diambil terhadap pihak terlibat.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MylPO) telah menawarkan pengecualian fi bagi Perkhidmatan Pendapat dan Carian Awal (PCA) bagi cap dagangan untuk tempoh 24 April hingga 23 Mei ini.

Keputusan itu dibuat dengan tujuan menggalakkan lebih banyak pendaftaran cap dagangan selain untuk memberi peluang kepada lebih ramai usahawan melindungi hak harta intelek mereka.

"Langkah ini bersesuaian kepada mereka yang ingin membuat carian harta intelek kerana kebiasaannya fi yang dikenakan ialah RM250, tetapi dalam tempoh sebulan ini kita buka secara percuma bagi menggalakkan mereka mendaftarkan harta intelek masing-masing," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!