KUALA LUMPUR - Produk yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) membantu menjimatkan perbelanjaan rakyat kerana harganya murah dan berkualiti.

Berdasarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2014, pemilik kedai makan Norhayati Mohd Ariffin, 38, berkata, harga yang lebih murah di KR1M membolehkannya membeli barangan dalam kuantiti yang lebih banyak.

Norhayati, pelanggan tetap KR1M Pekan Sungai Besar, Selangor berkata, ini bermakna harga yang berpatutan juga turut ditawarkan bagi pelanggan di kedai makan miliknya.

"Sebagai pemilik kedai makan, saya perlu menggantikan semula inventori saya setiap hari dengan barangan asas seperti gula, susu, tepung dan beras," menurut laporan itu.

Bagi pegawai Indah Water Konsortium Muhammad Raduan Ismail, beliau boleh berjimat kira-kira RM100 sebulan apabila berbelanja di KR1M.  

"Saya menghabiskan kira-kira RM200 hingga RM300 sebulan untuk perbelanjaan isi rumah dengan di sini sahaja saya boleh berjimat kira-kira RM100," katanya.

Menurut pengurus KR1M kawasan Selangor dan Perak, Norhaizat Mustaffa, permintaan daripada pelanggan tempatan terhadap produk KR1M amat menggalakkan.

"KR1M di sini (Sungai Besar) telah menjadi pusat beli-belah sehenti untuk keluarga dan anak muda tanpa mengira apa jua jumlah pendapatan mereka.

"Daripada maklumat balas yang kami terima, pelanggan kami sebulat suara bersetuju bahawa pengalaman beli-belah mereka adalah positif tanpa sebarang isu mengenai kualiti produk yang ditawarkan," menurut laporan itu.

Pegawai KR1M Hussain Karim Ally berkata produk itu serupa dengan barangan berjenama lain dari segi kualiti, dan keserupaan ini dibuktikan oleh bilangan pelanggan yang memilih jenama Produk 1Malaysia yang lebih murah.

"Kami dapati ramai pengguna dan pemilik kedai membuat pembelian di sini. Kebanyakan mereka yang bekerja di kantin datang untuk membeli sardin dan roti berjenama 1Malaysia untuk dijual semula," menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, KR1M telah berusaha memastikan kualiti barangan tidak terjejas kerana mesej yang ingin disampaikan oleh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kos Sara Hidup (COL) ialah rakyat tidak perlu mengorbankan kualiti disebabkan harga.

Selain itu, KR1M juga membantu merancakkan perusahaan tempatan bersaiz kecil dan sederhana (PKS) yang menghasilkan kebanyakan produk yang dijual di kedai itu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Antara 200 hingga 300 pembekal akan terlibat dalam Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 bagi menawarkan lebih banyak pilihan produk yang berkualiti pada harga lebih rendah daripada pasaran, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin.
  • MIRI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengesahkan satu daripada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Bandaraya Miri ditutup kerana faktor ekonomi.
  • SHAH ALAM - Kerajaan dijangka melancarkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 pada 31 Ogos ini, yang akan menawarkan barangan berkualiti, harga barangan lebih murah berbanding di pasaran dan bekalan barangan yang dijual sentiasa mencukupi.
  • JEMPOL - Kerajaan akan melancarkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 dalam masa terdekat untuk membantu menangani kos sara hidup rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
  • PETALING JAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat negara ini agar tidak sangsi dengan harga dan kualiti produk keluaran Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh negara.