PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang diugut ketika menjalankan siasatan skandal dana RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika ada laporan daripada sesiapa sahaja pun, polis akan menyiasatnya berdasarkan fakta-fakta yang ada.

"Hasil siasatan itu nanti akan dibawa ke pihak bertanggungjawab dan sekiranya ada prima facie, maka tindakan undang-undang akan diambil.

"Kalau beliau (Mohd Shukri) rasa dirinya terancam, dia harus buat laporan polis," katanya dalam sidang media di Kompleks D, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut menjawab berhubung dakwaan Mohd Shukri yang diekori pegawai ketika di berada di Washington, Amerika Syarikat.

"Kita akan lihat dan siasat dahulu perkara ini," katanya.

Terdahulu, Mohd Shukri mendedahkan beliau terpaksa meninggalkan Malaysia kerana merasakan nyawanya terancam ketika mengetuai siasatan ke atas skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, 3 tahun lalu.

Beliau berkata, ekoran langkah tegas SPRM menyiasat perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak, beliau dan bekas ketua SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dituduh cuba menggulingkan kerajaan Barisan Nasional.