KUALA LUMPUR - Pengiktirafan bersama pensijilan halal perlu digalakkan dalam kalangan pelbagai badan pensijilan di seluruh dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mencadangkan perkara ini berdasarkan kemungkinan agak sukar untuk mempunyai satu standard pensijilan yang seragam.

Timbalan perdana menteri menarik perhatian bahawa terdapat lebih 200 badan pensijilan di seluruh dunia yang mengeluarkan sijil dan logo halal masing-masing.

"Kita patut menggalakkan pengiktirafan bersama pensijilan masing-masing. Saya benar-benar berharap kita meneliti secara serius akan kemungkinan penyelesaian ini," kata Ahmad Zahid semasa merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Ketiadaan pensijilan yang seragam merupakan satu cabaran, katanya, selain memelihara integriti status halal itu.

Ahmad Zahid berkata Malaysia telah memasuki fasa ketiga dan fasa akhir pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal dengan penekanan diberikan terhadap memperluaskan syarikat tempatan dan pengantarabangsaan industri halal.

Beliau berkata kerajaan Malaysia fokus terhadap pendekatan yang lebih holistik ke arah mewujudkan ekosistem halal untuk menjadikan negara sebuah hab halal global terkemuka.

Pendekatan itu, katanya, menekankan kepda peningkatan aktiviti melalui rangkaian pembekalan.

"Selain produk halal dan menyediakan perkhidmatan berkaitan halal, rangkaian pembekalan halal juga termasuk perbankan dan kewangan Islam, logistik, pelancongan, takaful dan perkhidmatan sokongan berkaitan halal yang lain," katanya.

Ahmad Zahid juga berkata beberapa negara Arab telah menyatakan minat mereka untuk membina ekosistem halal dengan Malaysia.

Dari segi pembangunan ekonomi, Ahmad Zahid berkata produk halal Malaysia terus mendapat perhatian kukuh dalam kalangan pelanggan di seluruh dunia, dengan jumlah eksport meningkat daripada RM23.9 bilion dalam tahun 2011 kepada RM39.3 bilion tahun lepas.

"Kita melihat ini hasil daripada promosi agresif produk dan perkhidmatan halal kita melalui acara seperti Mihas serta misi dagangan kita di luar negara," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata China ialah antara destinasi utama bagi ekpsort halal Malaysia bersama Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun.

Beliau berkata produk utama yang dieksport ialah makanan dan minuman yang diikuti dengan bahan halal serta terbitan minyak sawit.

Adalah diunjurkan menjelang 2020, eksport halal tahunan Malaysia akan melebihi RM50 bilion.

Tahun ini, Mihas 2017 menempatkan 580 pempamer dari 33 negara termasuk negara anggota Asean, Palestin, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Brazil, Afrika Selatan, China, Jepun dan Taiwan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KANGAR - Jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) dari Padang Besar, Perlis ke Bukit Kayu Hitam, Kedah di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 26.2 kilometer akan dibangunkan menjadi empat lorong, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  • KUALA LUMPUR - Op Selamat 11 sempena Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada Rabu depan (14 Jun), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.