KUALA LUMPUR - Pengguna internet di negara ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat peribadi bagi mengelakkannya daripada disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata pengguna sering ditekankan supaya bersikap ambil peduli dan tidak mudah untuk berkongsi maklumat peribadi di internet.

“Kita dapat lihat dari segi peratusan akuan media sosial 2016 di Facebook adalah 96.5 meningkat kepada 97.3, Instagram 46.7 kepada 56.1, Wechat 60.2  kepada 43.7  dan Twitter 26.5 kepada 26.6.

“Kita dapat lihat bahawa data diguna tanpa sempadan ini ada di mana-mana sahaja dan sebagai pengguna adakalanya kita tak sedar data pengguna ini dikumpul setiap hari,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (DAP-Kulai), di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sentiasa menitik berat dan memberikan keutamaan hal ehwal berkaitan kerahsiaan dan perlindungan data bagi setiap warga negara ini.

“Kementerian melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah menguatkuasakan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.

“Akta ini terpakai kepada berbilang sektor dan industri utama negara yang merupakan pengguna data antaranya industri komunikasi, perbankan dan institusi kewangan, insurans kesihatan, pengangkutan, pelancongan dan beberapa lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu sehingga kini sebanyak tiga kes telah didakwa di bawah Akta 709 dan ke semuanya telah dijatuhkan hukuman oleh  mahkamah.

“Selain daripada tindakan mahkamah, JPDP turut proaktif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti jangkauan kepada warga awam untuk memupuk kesedaran berhubung tatacara pemprosesan data peribadi,” katanya.