• Najib Tun Razak Dato' Seri Najib Tun Razak
1 /

ALOR SETAR - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Kedah berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan kerana meluluskan tuntutan berhubung pencen yang telah dibuat selama 11 tahun.
   
Presidennya, Datuk Harun Hashim berkata sejak 11 tahun lepas, pihaknya memohon supaya pesara sektor awam yang berkahwin dalam persaraan, pemberian pencen terbitan kepada balu atau duda yang dikahwini dalam persaraan dilanjutkan kepada baki tempoh 20 tahun daripada persaraan.
   
"Kita berusaha selama 11 tahun dan akhirnya menerima maklum balas baik daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam. Dalam surat bertarikh 11 Jun kepada persatuan, JPA memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju dengan permohonan persatuan dengan pelaksanaan berkuatkuasa mulai 1 Jan tahun ini.
   
"Ini bermakna jika isteri atau suami yang berkahwin lain atau pesara lelaki berkahwin lagi seorang selepas bersara, isteri atau suami mereka layak menerima pencen selepas pesara itu meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Harun berharap selepas ini semua pesara kerajaan tidak lagi mempersoalkan berkaitan perkara tersebut kerana kerajaan telah pun meluluskannya.
    
"Selain daripada isu tersebut, persatuan juga menghantar surat berkaitan perubahan elaun pencen pesara mengikut skim gaji kakitangan awam masa kini dan pihak JPA memaklumkan ia masih lagi dalam peringkat kajian.
 
"Kita amat berharap agar tuntutan itu juga akan mendapat maklum balas yang positif," katanya.
   
Harun berkata, Perdana Menteri mengambil berat masalah yang disuarakan oleh pesara kerajaan.
   
Kini terdapat lebih 150,000 pesara kerajaan di seluruh Malaysia dengan kira-kira 30,000 orang bermaustatin di Kedah. - Bernama