Bilik snoezelen untuk murid berkeperluan khas

Fadhlina (kiri) bermesra dengan pelajar-pelajar khas di Bilik Multisensori Pendidikan Khas Sekolah Rendah Seri Sentosa selepas majlis perasmian bilik berkenaan di sini pada Jumaat. Foto Bernama
Fadhlina (kiri) bermesra dengan pelajar-pelajar khas di Bilik Multisensori Pendidikan Khas Sekolah Rendah Seri Sentosa selepas majlis perasmian bilik berkenaan di sini pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Empat buah sekolah rendah termasuk tiga di Perak akan dilengkapi Bilik Multisensori Pendidikan Khas (bilik snoezelen) untuk digunakan oleh Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ruangan itu merupakan sebuah bilik terapi yang dicipta khusus untuk menenangkan, merehatkan, serta merangsang minat kanak-kanak mahupun dewasa yang mempunyai masalah berkeperluan khas.

Menurutnya, Bilik Terapi Multisensori ini amat sesuai digunakan oleh murid yang mempunyai masalah pembelajaran seperti Autisme, Sindrom Down, ADHD dan sebagainya.

Beliau berkata, terapi ini juga digunakan secara meluas dalam bidang Pediatrik, Materniti, Psikiatri, Strok dan Kecederaan Otak (Traumatic Brain Injury), penyakit kronik, dan penjagaan Dementia.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha memberikan peluang dan ruang kepada MBPK menikmati pembelajaran seperti murid-murid lain di aliran perdana dengan mengikuti pendidikan setara dan berkualiti.

"Ia termasuk memastikan golongan itu menikmati fasiliti pembelajaran yang terbaik selaras dengan konsep Pendidikan Manusiawi yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025)," katanya.

Fadhlina bergambar bersama wakil sekolah yang menerima bilik snoezelen yang disumbangkan syarkat Able Perfect Sdn. Bhd dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN).
Fadhlina bergambar bersama wakil sekolah yang menerima bilik snoezelen yang disumbangkan syarkat Able Perfect Sdn. Bhd dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Multisensori Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa di sini, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Selain SK Seri Sentosa, tiga buah sekolah lagi yang terpilih menerima bilik multisensori ini ialah SK Long Jaafar, SK Seri Setiawan dan SK Pendidikan Khas Ipoh, Perak.

Bilik terapi khas itu disumbangkan syarkat Able Perfect Sdn. Bhd dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN).

Sementara itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, seiring dengan PPPM 2013-2025 beliau berharap agar kerjasama antara kumpulan sokongan profesional seperti ahli terapi dengan guru-guru dapat dirancakkan lagi supaya MBPK menerima manfaat perkhidmatan dan seterusnya berupaya melibatkan diri dalam aktiviti yang dirancang oleh KPM.

Katanya, dengan adanya Bilik Multisensori ini, dapat menyokong kefungsian dan kemenjadian MBPK dari peringkat pendidikan sekolah rendah sehingga ke peringkat menengah dan seterusnya bersedia ke arah kebolehpasaran mereka apabila tamat persekolahan nanti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!