Pemerkasaan silibus mata pelajaran lahir generasi berdaya saing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PENDIDIKAN merupakan asas penting dalam aspek pembangunan masyarakat sekali gus mencerminkan imej pentadbiran negara di mata dunia.

Dalam melahirkan generasi muda pada masa akan datang, ibu bapa dan guru menjadi pemangkin dalam usaha mendidik kanak-kanak sehingga ke menara gading.

Bagaimanapun, sistem pendidikan seimbang merangkumi program dan silibus mata pelajaran berkualiti menjadi tunjang utama dalam pembentukan pemikiran serta sahsiah pelajar-pelajar sekolah.

Pada Khamis, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah sistem pendidikan negara perlu berubah dengan silibus mata pelajaran sekolah tidak relevan diperbaharui.

Baginda bertitah demikian ketika ucapan perasmian pembukaan penggal persidangan ketiga bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar, Johor untuk kali pertama sebagai Pemangku Sultan Johor.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, langkah itu adalah satu keperluan kerana pendidikan berkualiti adalah asas kemajuan dan penting bagi penyelesaian pelbagai isu.

Baginda seterusnya menggesa kerajaan Persekutuan mengambil langkah lebih proaktif bagi meningkatkan kualiti sistem dan fasiliti pendidikan negara.

Titah tersebut susulan laporan terbaru Bank Dunia bertajuk 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills' pada 25 April lalu, yang dilaporkan memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan.

Artikel Berkaitan:

Ia berbanding pelajar Vietnam walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Laporan itu juga menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mahir membaca menjelang akhir Tahun 5, iaitu jauh lebih teruk daripada rakan serantau, selain pelajar Malaysia dilapor menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun, manakala pelajar Vietnam mencapai 10.7 tahun pembelajaran dalam jangka masa sama.

Pelaporan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada imej kualiti pendidikan negara malah, mencerminkan cabaran rakyat khususnya ibu bapa dan guru dalam membantu kanak-kanak menguasai silibus pembelajaran sedia ada.

Justeru, titah Tunku Mahkota Ismail mengenai isu pendidikan itu perlu diambil serius oleh pimpinan kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam era pemodenan masa kini, usaha pemerkasaan silibus mata pelajaran sekolah memainkan peranan besar dalam melahirkan generasi masa hadapan berdaya saing serta berkemahiran teknologi seiring dengan peredaran semasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!