PUTRAJAYA - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin bersedia membantu Datuk Seri Najib Tun Razak menyelesaikan isu pembayaran bil perubatan anaknya.

Ahli Parlimen Sepang itu menasihatkan Najib supaya mengarahkan peguamnya menulis surat kepada pihak berkenaan bagi mengeluarkan sejumlah wang dari akaun dibekukan itu.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu juga boleh menghantar terus surat itu kepadanya dan beliau akan cuba membincangkan perkara itu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Diberitakan anak mantan perdana menteri mengidap kanser dan menghadapi masalah dalam pembayaran bil kemoterapi kerana akaun dibekukan.

"Jika benar apa yang dilaporkan, saya rasa tidak ada masalah untuk mantan PM itu arahkan peguam beliau menulis kepada pihak yang berkenaan bagi keluarkan sejumlah wang dari

akaun yang dibekukan itu untuk tujuan pembayaran bil.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Akaun beku: Najib makin hilang sabar]

[ARTIKEL BERKAITAN:  SPRM nafi beku akaun cucu Najib]

"Saya tak pasti beliau telah lakukan hal yang saya katakan itu. Jika sudah, kena push (tekan) lah dan boleh juga tulis surat kepada saya atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri. InsyaAllah, saya akan bincang dengan SPRM tentang perkara itu," katanya.

Tambah beliau, jika Najib belum melakukan perkara itu (menulis surat) maka beliau dinasihatkan untuk tidak menuduh kerajaan Pakatan Harapan zalim.

Hari ini, Najib memuat kenyataan dalam laman sosial Facebook miliknya meluahkan kekesalan dengan tindakan kerajaan membekukan akaun peribadinya termasuk akaun bank anak dan cucunya.

Beliau menganggap tindakan sebegitu tidak wajar, amat berat untuk diterima dan menyukarkan dirinya menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.