SEREMBAN – Kementerian Belia dan Sukan menganggap penganjuran Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas mampu membentuk bakat sukan dari peringkat kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun lagi.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia adalah sesuatu yang amat baik sekali dan beliau berbesar hati kerana ia menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan dalam program pembangunan modal insan sejak dari kecil.

“Sejak dilaksanakan secara bergilir pada 2005 iaitu diselangselikan dengan acara bakat meliputi pertandingan nasyid dan bercerita serta acara sukan seperti kali ini, Hari Potensi Kemas mempamerkan kesungguhan semua pihak dalam membentuk perkembangan holistik di kalangan kanak-kanak.

“Pertandingan sebegini pastinya menguji dan membangunkan nilai sosial, emosi, fizikal, intelek dan rohani kanak-kanak apabila mereka dapat mengecapi kemenangan, ataupun merasai kekalahan dalam setiap persaingan.

“Kesemua acara ini juga bertujuan melahirkan individu-individu yang berjiwa kental, berdaya saing, bertoleransi, berinovatif dan kreatif. Sifat serta nilai-nilai ini amat penting dalam pembangunan modal insan dalam Malaysia menuju ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada masa hadapan.

“Ia selari dengan Dasar Pendidikan Negara di mana setiap kanak-kanak diberi peluang sama rata untuk menonjolkan kebolehan diri masing-masing supaya dapat digilap ke peringkat yang lebih tinggi,”katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Paroi, Mohd Ghazali Abd Wahid dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri, Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan.

Menurut beliau, dalam pada Malaysia mengehoskan Kuala Lumpur 2017 iaitu Sukan SEA yang baru lepas dan Sukan Para Asean yang akan bermula Ahad ini, Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas pada tahun ini amat bertepatan dengan penganjuran temasya sukan terbesar di rantau ini.

“Kejayaan Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan Sukan SEA 2017 dengan memungut 145 pingat emas diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada anak-anak kita yang bersaing pada hari ini.

“Satu hari nanti, saya percaya akan muncul lebih ramai Azizulhasni Awang, Farah Ann Abdul Hadi, Pandelela Rinong serta lain-lain atlet terkenal tanah air yang lahir dari Hari Potensi Kemas,” katanya.

Seramai 464 kanak-kanak daripada 474 tabika Kemas Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas di seluruh Negeri Sembilan terlibat dalam acara sukan yang dipertandingkan pada tahun ini.

Antara sukan berkenaan, adalah acara futsal; bola jaring; rounders; gerak kreatif; ‘Formula One & Sprint’; ‘hurdles shuttle relay’ serta pertandingan Anugerah Kanak-Kanak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - - Sukan bukan sekadar satu perlawanan atau permainan sebaliknya turut membabitkan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi arus perdana, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.