BERASAK dalam kapal hampir dua bulan dengan hanya makan sekali sehari, dan berjalan kaki puluhan kilometer sambil bergilir-gilir mendukung adik.

Itu pengalaman dilalui seorang kanak-kanak Rohingya yang terpaksa meninggalkan tanah airnya, ekoran kekejaman berlaku terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Biarpun sudah dua tahun melalui detik itu, namun Dilwar Husin, 11, masih mampu mengingatinya dengan jelas segala kepayahan dihadapinya bagi menyelamatkan diri bersama ibu, Sabikunnahar Abdul Rohim, 30, dan empat adik-beradiknya ketika itu sebelum datang ke Terengganu berjumpa ayahnya, Husin Ali, 35.

Berkongsi cerita, Dilwar berkata, dia sekeluarga kecuali ayahnya terlebih dahulu tiba di Thailand selepas hampir dua bulan berada di dalam kapal di tengah-tengah lautan bersama ribuan komuniti Rohingya lain dan selepas sehari tiba, dia kemudiannya menuju ke Terengganu untuk berjumpa ayahnya.

“Selama berasak-asak berada dalam kapal, ada juga hari-hari tak makan dan kami hanya minum air. Kalau ada pun, cuma makan nasi sekali sehari dengan lauk dal, bekalan makanan perlu dijimatkan kerana tak tahu berapa lama kami akan terus berada di tengah lautan, tapi saya tahu kapal akan ke Thailand.

“Sehari berada di sana (Thailand), saya sekeluarga menuju ke Malaysia untuk berjumpa ayah di Kuala Berang, Terengganu. Saya, ibu dan adik-beradik lain ada kalanya terpaksa berjalan kaki puluhan kilometer sambil bergilir-gilir dukung adik yang ketika itu berusia 3 tahun, ada juga naik van berhimpit-himpit dengan yang lain.

“Kami ambil masa dua hari untuk sampai di Kuala Berang. Kerinduan pada ayah yang dua tahun lebih awal tiba di sini dah terubat dan saya juga bersyukur kerana dapat menyelamatkan diri ke Malaysia.

“Walaupun tak dapat ke sekolah, tapi di sini saya dan kanak-kanak Rohingya lain tetap dapat belajar kerana ada sebuah madrasah diwujudkan untuk kami. Keadaannya tak sama dengan tempat sendiri, tapi saya bersyukur, sekurang-kurangnya kanak-kanak Rohingya seperti saya masih ada tempat menuntut ilmu,” katanya.

Anak kedua daripada enam beradik ini berkata, ketika di tempat asalnya di kawasan dikenali sebagai Mungdow, dia dan adik-beradiknya tidak dibenarkan keluar oleh ibunya demi keselamatan, dan kehidupan seharian mereka berkurung dalam rumah kerana jika terserempak dengan tentera atau pihak anti Rohingya, pasti nyawa melayang tanpa sebarang simpati.

Katanya lagi, berada di Kuala Berang, dia dan adik-beradiknya, masing-masing berusia 13, 9 ,6 , 5 dan 2 tahun (lahir di Malaysia) tidak perlu lagi terpaksa hidup terkurung sebaliknya dapat keluar bermain terutama pada waktu petang tanpa rasa takut.

“Walau macam mana seronok pun tinggal di sini, ini bukan tanah air kami, cuma diberi keizinan tinggal sementara di sini. Harapan saya agar keadaan di sana (Myanmar) cepat tenang, tidak berlaku lagi penindasan pada orang Islam etnik Rohingya agar kami dapat pulang semula ke negara sendiri,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLUANG - Kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menyatakan persetujuan untuk bersama-sama dengan Malaysia untuk membantu pelarian Rohingya di Bangladesh.
  • SHAH ALAM - Pasar raya Econsave (Econsave Cash & Carry Sdn Bhd) berjaya menyerahkan RM120,945.20 lagi sumbangan kepada tabung SINAR4ROHINGYA, semalam.
  • PERSATUAN Tadika Islam Malaysia (Pertim) akan menggiatkan usaha untuk mengumpulkan RM20,000 dana dalam mencapai sasaran RM50,000 melalui jualan patung beruang (teddy bear) untuk disumbangkan kepada tabung SINAR4ROHINGYA.
  • [VIDEO] MERAWAT bayi terkulai dan orang tua yang hanya menanti ajal, bertemu pesakit cirit-birit, kudis bernanah dan pelbagai lagi adalah rutin biasa kakitangan perubatandi Kem Balukhali.
  • [VIDEO] DOH yang siap diuli dilenyek, sebelum ditebar. Satu demi satu selamat 'mendarat' di atas kuali leper yang mencecah kepanasan maksima. Api diperlahankan sebelum menyambung tebaran doh lain.