COX'S BAZAR - Rancangan penghantaran pulang pelarian Rohingya yang dimeterai antara Bangladesh-Myanmar bukan berita gembira terutamanya buat golongan kanak-kanak.

"Ramai kawan saya dibunuh dengan kejam oleh tentera dan pelampau Buddha ketika mereka cuba melarikan diri. Terdapat banyak mayat bergelimpangan.

"Jika kami pulang sekarang, mereka pasti akan membunuh kami. Saya tidak rasa mahu kembali ke sana. Saya tidak mahu pulang," kata Sadiya, 12, sambil mengelap air mata dengan tudungnya.

Sadiya adalah salah seorang daripada 690,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos lalu yang mana dua pertiga daripada mereka adalah golongan budak.

Ribuan kanak-kanak dilaporkan tiba bersendirian dan mengalami trauma melampau selepas melihat keluarga mereka dibunuh dan kampung dibakar ketika gelombang keganasan baharu itu tercetus.

PBB menganggarkan 170,000 kanak-kanak Rohingya mengalami pelbagai bentuk trauma mental dan memerlukan jagaan pakar.

"Trauma itu akan menjadi lebih serius dan memberi kesan jangka masa panjang jika mereka dipaksa pulang. Golongan itu akan terus dihimpit ketakutan kerana mereka tidak tahu nasib selepas pulang ke Rakhine," kata Timbalan Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef), Justin Forsyth di kem pelarian Balukhali. - AFP