75 kucing ditemukan dalam apartmen kecil, bangkai anak kucing dalam peti sejuk

PARIS - Lebih 75 ekor kucing ditemukan dalam sebuah apartmen kecil berkeluasan kira-kira 50 meter persegi di sini, dalam keadaan yang disifatkan sangat teruk.
Memetik laporan akhbar Le Parisien, kucing berkenaan ditemui aktivis pertubuhan kebajikan haiwan YouCare ketika operasi pengusiran paksa sebuah apartmen perumahan sosial di daerah ke-15, selepas polis dan seorang bailif meminta bantuan badan amal itu.
Pengerusi YouCare, Thomas Moreau berkata, sukarelawan yang tiba di lokasi pada Khamis lalu menemukan puluhan kucing yang dipelihara dalam keadaan menyedihkan.
"Haiwan tersebut dipelihara dalam keadaan yang teruk dan ada yang sudah dibawa ke klinik veterinar.
"Bangkai anak kucing juga ditemukan di dalam peti sejuk," katanya pada Selasa.
Pertubuhan itu bagaimanapun tidak dapat mengambil kesemua kucing berkenaan sekali gus, namun dalam masa sama melancarkan tabung bantuan.
"Kira-kira 30 ekor kucing terpaksa ditinggalkan di apartmen itu buat sementara waktu dan dijaga oleh sukarelawan.
"Kejadian ini berkemungkinan kes 'animal hoarding' atau penjaga mengalami sindrom Noah.
"Individu yang mengalami masalah psikiatri ini cenderung menyimpan sejumlah besar haiwan peliharaan di dalam ruang terkurung tanpa dapat menjaga, memberi makan atau menyediakan rawatan perubatan sewajarnya," ujar Moreau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
