Nenek 91 tahun maut diterkam monyet mengganas

Serangan monyet ke atas mangsa turut dirakam CCTV yang dipasang di luar rumah. Foto: Agensi
Serangan monyet ke atas mangsa turut dirakam CCTV yang dipasang di luar rumah. Foto: Agensi
A
A
A

BENGALURU - Seorang wanita berusia 91 tahun meninggal dunia selepas diserang seekor monyet di rumahnya dalam kejadian menggemparkan di Koppal, Karnataka, India.

Mangsa, Najamunnisa Begum merupakan isteri kepada penulis terkenal, M S Savadatti. Menurut keluarganya, Begum sedang berjalan di kawasan halaman rumahnya di B.T. Patil Nagar sebelum seekor monyet menyerangnya secara tiba-tiba hingga menyebabkan dia terjatuh.

Insiden itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar rumah.

Anak perempuan mangsa cuba membantunya, namun dia turut diserang haiwan itu. Begum kemudiannya dibawa ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.

Pada mulanya, keadaan wanita itu dikatakan semakin pulih. Tetapi, kesihatannya merosot dan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada keesokan harinya.

Kejadian itu berlaku selepas negara itu digemparkan dengan beberapa insiden serangan monyet terhadap wanita warga emas termasuk kes yang membawa maut.

Pada 10 September lalu, seorang wanita berusia 55 tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari bumbung rumah ketika cuba melarikan diri daripada sekumpulan monyet di Gabhana, Aligarh. Mangsa dilaporkan naik ke bumbung untuk menjemur pakaian sebelum dikepung haiwan berkenaan.

Kejadian sama turut dilaporkan di Shimla, Himachal Pradesh beberapa hari selepas itu. Seorang wanita maut selepas terjatuh dari bumbung susulan serangan mengejut seekor monyet di kawasan tanah perkuburan.

Insiden itu kemudiannya mencetuskan bantahan penduduk yang menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ancaman monyet di bandar berkenaan. Penduduk dan wakil tempatan turut menuntut pampasan sebanyak 500,000 rupee (RM21,300) untuk keluarga mangsa.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!