Jerebu toksik di Indonesia semakin buruk

JAKARTA - Jerebu toksik akibat kebakaran hutan yang melanda Indonesia sejak beberapa minggu lalu kini menjejaskan kesihatan lebih 175,000 penduduk.
Data terkini menunjukkan lebih 40,000 kes melibatkan kanak-kanak bawah lima tahun mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk batuk, bronkitis dan radang paru-paru.
"Sebanyak 174,694 kes jangkitan saluran pernafasan akut direkodkan antara Ogos hingga 21 September di kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah," kata jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Then Suyanti pada Selasa.
Menurutnya, jumlah keseluruhan yang dilaporkan di tujuh wilayah terjejas jerebu meningkat daripada lebih 113,000 kes setakat 9 September.
Kebakaran terus merebak di Borneo, Sumatera dan Papua menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan di Indonesia yang dihuni lebih 280 juta penduduk serta negara jiran Malaysia dan Singapura.
Indonesia lazimnya berdepan kebakaran hutan setiap tahun ketika musim kering dari Julai hingga Oktober.
Bagaimanapun, keadaan sangat kering akibat fenomena El Nino ‘Godzilla' pada tahun ini menambah cabaran kepada pasukan bomba dalam usaha mengawal api daripada terus marak.
Platform pemantauan hutan bebas, Nusantara Atlas mengesan kira-kira 734,000 titik panas di seluruh negara setakat Rabu iaitu lebih 30 peratus berbanding 2019 yang direkodkan sebagai antara musim kebakaran hutan terburuk Indonesia. Sejak Januari lalu, sekurang-kurangnya 895,657 hektar tanah musnah dijilat api.
Kebakaran itu turut menyebabkan sekolah ditutup dan kesesakan di hospital di seluruh negara. Menurut data Kementerian Kesihatan, jumlah pesakit yang mengalami masalah pernafasan berkaitan kebakaran meningkat lebih dua kali ganda kepada 113,336 kes pada 9 September berbanding 50,891 kes pada 1 September. Jerebu toksik itu turut menjejaskan hidupan liar termasuk orang utan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

