Daratan baharu muncul dekat Anak Krakatau, cetus spekulasi ‘cucu Krakatau’

Tangkap layar rakaman video daripada akaun YouTube Yodistara menunjukkan kemunculan daratan baharu di sekitar Gunung Anak Krakatau. - Foto: Agensi
Tangkap layar rakaman video daripada akaun YouTube Yodistara menunjukkan kemunculan daratan baharu di sekitar Gunung Anak Krakatau. - Foto: Agensi
A
A
A

LAMPUNG – Daratan baharu seluas kira-kira 30.3 hektar muncul berhampiran Gunung Anak Krakatau (GAK) di Lampung Selatan, Indonesia, sekali gus mencetuskan spekulasi ia mungkin menjadi permulaan kepada pembentukan gunung berapi baharu atau ‘cucu Krakatau’.

Daratan tersebut terletak di antara Pulau Gunung Anak Krakatau dan Pulau Sertung dan dipercayai terbentuk hasil pengumpulan material vulkanik daripada aktiviti letusan GAK.

Ketua Pos Pemantauan Gunung Anak Krakatau di Desa Hargo Pancuran, Suwarno mengesahkan kewujudan daratan berkenaan.

Menurutnya, daratan itu tidak terbentuk secara tiba-tiba selepas letusan terbaharu, sebaliknya hasil material vulkanik yang terkumpul ketika aktiviti Anak Krakatau meningkat.

Material tersebut mula kelihatan susulan peningkatan aktiviti gunung berapi itu selepas statusnya dinaikkan kepada Tahap III (Siaga) pada 2 Julai lalu.

“Ya, hasil daripada letusan sebelum ini. Kira-kira 30.3 hektar,” katanya.

Suwarno berkata, daratan tersebut berada dalam pemantauan petugas dan masih terletak di sekitar kompleks Gunung Anak Krakatau serta Pulau Sertung.

Kemunculannya kemudian mencetuskan spekulasi dalam kalangan masyarakat bahawa kawasan berkenaan mungkin menjadi titik permulaan pembentukan gunung berapi baharu yang digelar ‘cucu Krakatau’.

Bagaimanapun, Suwarno menegaskan belum ada asas untuk membuat kesimpulan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, Gunung Anak Krakatau mempunyai sistem saluran magma di bawah permukaan dan magma secara semula jadi akan mencari rekahan yang lebih mudah untuk keluar.

Namun, kemunculan daratan baharu itu tidak semestinya menunjukkan terdapat saluran magma baharu di lokasi berkenaan.

Setakat ini, pihak berkuasa juga belum mengetahui sama ada terdapat pergerakan magma menuju ke kawasan daratan tersebut atau kemungkinan ia menjadi pusat letusan baharu.

Sementara itu, status Gunung Anak Krakatau diturunkan daripada Tahap III (Siaga) kepada Tahap II (Waspada) pada Isnin selepas penilaian menunjukkan penurunan aktiviti letusan, gempa dan perubahan bentuk gunung.

Meskipun statusnya diturunkan, orang ramai masih dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dalam lingkungan dua kilometer dari kawah aktif. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!