Letusan Anak Krakatau: Indonesia kenal pasti mayat kru bot, tujuh masih hilang

JAKARTA - Polis Indonesia mengesahkan bahawa mayat yang ditemukan di wilayah Bengkulu ialah salah seorang kru yang hilang bersama lima wartawan semasa membuat liputan mengenai letusan Anak Krakatau awal bulan ini.
Tujuh masih hilang.
Ketua Polis Banten Inspektor Jeneral Hengki mengenal pasti kru tersebut sebagai Surakman. Mayatnya ditemukan di Pulau Enggano, wilayah Bengkulu, pada 12 September.
"Berdasarkan pemeriksaan DNA, mayat yang ditemukan di Pulau Enggano, Bengkulu, dikenal pasti secara genetik sebagai Surakman, seorang kru bot laju tersebut," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Polis Banten di Serang pada Rabu. Sidang media itu disiarkan secara langsung.
Lima wartawan yang hilang ialah Muhammad Bagus Khoirunnas daripada Agensi Berita Antara, Firdaus Wajidi (Anadolu Ajansi), Arie Basuki (Merdeka.com), Yudistiro Pranoto (iNews) dan wartawan bebas Donal Husni.
Dua lagi kru ialah Warta dan Heriyanto.
Kelapan-lapan individu itu menaiki bot laju yang bertolak dari Carita di daerah Pandeglang, Banten, pada kira-kira 2 petang, 7 September, untuk membuat liputan mengenai letusan Anak Krakatau.
Bot itu terputus komunikasi pada hari yang sama.
Operasi mencari bot dan penumpangnya berlangsung selama 10 hari dan berakhir pada 17 Sept.
Pada hari terakhir, seramai 523 anggota dan 24 kapal melakukan pencarian di kawasan seluas kira-kira 8,509 batu nautika persegi.
Hengki berkata, mayat kru itu ditemukan pada hari kelima, namun pihak polis menunggu pengesahan DNA sebelum mengaitkannya dengan kumpulan yang hilang itu.
"Pemeriksaan DNA mengambil masa, sekurang-kurangnya seminggu hingga 10 hari. Keputusannya hanya dihantar kepada kami malam tadi (22 September), jadi ia bukan satu kelewatan. Kami mahu memastikan pemeriksaan DNA dijalankan dengan betul dan menghasilkan pengenalan yang jelas sebelum kami mengumumkannya," katanya.
Hengki berkata, bot laju itu masih hilang dan polis tidak dapat menentukan sama ada ia dihanyutkan arus atau telah karam. Nasib tujuh orang yang masih hilang itu juga tidak diketahui.
Beliau menggesa mana-mana pihak yang menemukan mayat atau bukti lain yang mungkin berkaitan supaya menghubungi pihak polis, Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, atau pihak berkuasa tempatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
