Berebut ‘remote TV’ di kedai kopi, lelaki maut ditikam enam kali

MEDAN - Pertengkaran antara dua lelaki gara-gara alat kawalan jauh televisyen di sebuah kedai kopi berakhir tragedi apabila rakan kepada anak seorang daripada mereka maut ditikam enam kali di Medan Tuntungan, Indonesia.
Kejadian bermula kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan pada Ahad ketika JT bertengkar dengan HS, 46, di sebuah kedai kopi di Simpang Selayang.
Ketua Polis Medan Tuntungan, Iptu Aidil Ginting berkata, JT ketika itu meminta alat kawalan jauh yang dipegang HS kerana mahu menukar siaran televisyen.
Bagaimanapun, HS enggan menyerahkannya dan didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap JT.
Berang kerana berasa dihina, JT kemudian pulang ke rumah dan memanggil anaknya, NT. NT pula datang bersama rakannya, LT, 26.
Ketiga-tiga mereka kemudian mencari HS sebelum menemuinya di sebuah lagi kedai kopi kira-kira jam 11.45 malam waktu tempatan.
Menurut polis, JT bersama anaknya, NT dan LT kemudian memukul HS kerana tidak berpuas hati dengan pertengkaran terdahulu.
HS yang berasa terancam kerana berdepan tiga individu mengeluarkan sebilah pisau dari pinggangnya.
HS kemudian menikam LT, iaitu rakan kepada NT.
LT cuba melarikan diri selepas ditikam, namun terjatuh di jalan sebelum HS mengejarnya dan menikamnya beberapa kali lagi sehingga mangsa mengalami keseluruhan enam tikaman.
NT cuba menyelamatkan rakannya dengan membawa LT ke Hospital Umum Pusat Dr Adam Malik, namun mangsa disahkan meninggal dunia.
Polis kemudian memburu HS sebelum menahannya di Jalan Letjen Jamin Ginting kira-kira jam 10.30 pagi waktu tempatan pada Selasa.
Menurut polis, HS mengaku menikam LT menggunakan sebilah pisau dan kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

