Pengeboman Sri Lanka 2019: 15 dihukum penjara 220 tahun

COLOMBO – Mahkamah Tinggi Sri Lanka pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara terhadap 15 tertuduh yang terlibat dalam insiden pengeboman Hari Paskah yang meragut 279 nyawa pada 2019.
Panel tiga hakim mendapati 14 daripada tertuduh bersalah atas semua pertuduhan termasuk membunuh, berkonspirasi melakukan keganasan, memiliki senjata api dan bahan letupan mengikut Akta Pencegahan Keganasan.
Seorang lagi tertuduh disabit bersalah atas sebahagian pertuduhan, namun kesemua mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara 220 tahun.
Mahkamah turut mengarahkan kesemua harta dan aset milik mereka dirampas. Kesemua defendan itu didakwa membantu dan bersubahat dengan pengebom bunuh diri yang menyerang tiga hotel mewah dan tiga gereja pada 21 April 2019.
Kes tersebut mencatat sejarah dalam perundangan dengan 23,270 pertuduhan difailkan pendakwa raya yang merupakan jumlah tertinggi pernah direkodkan dalam satu kes.
Pada Julai lalu, bekas ketua polis dan bekas ketua keselamatan masing-masing dijatuhi hukuman mati kerana kecuaian jenayah selepas didakwa gagal menghalang serangan itu walaupun sudah menerima maklumat risikan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

