Pengutip sampah jadi ketua kampung

Surya (kanan) tetap optimis meskipun ada pihak meragui pencalonannya. Foto Agensi
Surya (kanan) tetap optimis meskipun ada pihak meragui pencalonannya. Foto Agensi
A
A
A

BEKASI - Seorang pengutip sampah mencuri perhatian selepas berjaya memperoleh undi terbanyak dalam Pilihan Raya Kepala Desa (Pilkades) Serentak 2026 di Desa Mekarwangi, Kabupaten Bekasi, Jawa Barat di Indonesia.

Surya, 46, yang berasal dari Kampung Rawa Banteng Kaum, Desa Mekarwangi, Kecamatan Cikarang Barat, berjaya menewaskan penyandang jawatan, Subur Rustadi dalam pengundian di desa berkenaan.

Berdasarkan keputusan pengiraan undi, Surya memperoleh 4,107 undi manakala Subur mendapat 4,015 undi, dengan kelebihan hanya 92 undi sokongan.

Kemenangan itu menarik perhatian kerana Surya hanyalah orang biasa yang menjalani kehidupan sederhana. Dia bekerja mengasingkan sampah buangan kilang yang mempunyai nilai jualan.

Hasil pendapatan kira-kira sejuta rupiah (RM228) hingga dua juta rupiah (RM457) sebulan itu digunakan untuk menampung keperluan keluarganya selain membayar gaji tiga pekerja yang membantunya.

Keadaan ekonomi Surya menyebabkan segelintir pihak mempersoalkan keputusannya untuk bertanding sebagai calon kepala desa.

“Orang susah tidak mempunyai wang, tetapi mahu bertanding. Begitulah kata orang sekeliling,” katanya sambil menambah beliau turut dibandingkan dengan calon lain yang dianggap mempunyai sumber lebih besar.

Pencalonannya dalam Pilkades diibaratkan seperti 'semut melawan gajah'.

Bagaimanapun, pandangan berkenaan tidak mematahkan semangat Surya untuk bertanding. Beliau tetap optimis dan percaya keputusan akhir bukan semata-mata ditentukan oleh keadaan ekonomi seseorang.

Artikel Berkaitan:

“Rezeki bukan manusia yang menentukan. Kita percaya kepada Yang Maha Kuasa. Saya yakin akan berjaya,” ujarnya yang berikrar untuk memperjuangkan nasib dan kebajikan penduduk setempat. - Agensi

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!