Feri karam: 9 mayat lagi ditemukan, angka kematian meningkat kepada 27

Feri Virgo Transport 8, yang membawa 243 penumpang dan kru serta 89 kenderaan karam pada awal pagi 13 September semasa dalam pelayaran dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan. Foto fail/Bernama
Feri Virgo Transport 8, yang membawa 243 penumpang dan kru serta 89 kenderaan karam pada awal pagi 13 September semasa dalam pelayaran dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan. Foto fail/Bernama
A
A
A

JAKARTA - Angka kematian akibat tragedi feri Virgo Transport 8 karam di Indonesia meningkat kepada 27 orang pada Rabu selepas sembilan lagi mayat ditemukan dari dalam bangkai kapal yang tenggelam itu, manakala 108 mangsa masih hilang.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Mohammad Syafii berkata, penemuan itu dilakukan oleh penyelam daripada Kumpulan Khas Basarnas (BSG) dan penyelam Tentera Laut Indonesia, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dikesan setakat ini seramai 135 daripada 243 orang yang tersenarai dalam manifes kapal, terdiri daripada 108 yang terselamat dan 27 terkorban.

"Kami akan meneruskan usaha ini bagi memberikan kepastian kepada keluarga mangsa yang masih menunggu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Feri Virgo Transport 8, yang membawa 243 penumpang dan kru serta 89 kenderaan, terputus hubungan pada awal pagi 13 September semasa dalam pelayaran dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan sebelum ditemukan terbalik di Laut Jawa.

Feri itu pada mulanya kelihatan sebahagiannya di atas permukaan air semasa ditemukan, namun kemudian tenggelam ke kedalaman kira-kira 29 meter menjelang 17 Sept dan terus tenggelam lebih dalam, menurut Basarnas.

Beliau berkata, mayat mangsa dipindahkan ke kapal penyelamat KN SAR Pacitan sebelum diterbangkan menaiki helikopter Basarnas HR 3601 ke Banjarmasin untuk dibawa ke Rumah Sakit Bhayangkara bagi proses pengecaman dan tindakan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!