KUALA NERANG - Kerajaan negeri akan memohon kira-kira 10 pam penggalak air bernilai lebih RM1 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia (KKLW) bagi membantu menyelesaikan masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, permohonan itu akan dilakukan secara berperingkat setelah Syarikat Air Darul Aman (Sada) melakukan kajian terperinci di kawasan yang dikenal pasti.

Katanya, permohonan itu adalah bagi memastikan pam yang bernilai lebih RM100,000 setiap satu itu dapat digunakan secara optimum oleh penduduk.

“Sehingga kini dua kampung di Padang Terap yang menghadapi masalah tekanan air rendah iaitu Kampung Bukit Nambua dan Kampung Nako sudah mula dipasang pam tersebut. Kesannya ia sudah memberi manfaat kepada 1,000 penduduk di kampung berkenaan.

"Kawasan lain yang akan dipasang pam itu akan ditentukan Sada apabila mereka selesai menjalankan kajian supaya kawasan yang betul-betul memerlukannya sahaja akan dipasang. Kita menjangkakan kira-kira 10 pam lagi diperlukan untuk menyelesaikan masalah ini di kawasan tinggi termasuk di daerah Sik dan Baling,” katanya.

Menurutnya, pam itu menjadi antara inisiatif terbaik bagi menyelesaikan masalah tekanan air rendah seiring dengan komitmen dan janji kerajaan negeri yang dibantu kerajaan pusat untuk menangani gangguan bekalan air di seluruh negeri menjelang 2020.