Pelajar antarabangsa di universiti awam tidak jejaskan peluang pelajar tempatan

GEORGE TOWN – Dakwaan bahawa peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam mengecilkan peluang pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian tidak tepat kerana kemasukan mereka di peringkat prasiswazah hanya mewakili 3.44 peratus daripada keseluruhan enrolmen dan dilaksanakan berasaskan prinsip 'over and above'.
Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Devisakti Annamali berkata, prinsip itu bermaksud kemasukan pelajar antarabangsa tidak mengambil tempat yang diperuntukkan kepada calon tempatan menerusi sistem UPUOnline.
Menurutnya, berdasarkan data MyMoheS sehingga 31 Disember 2025, daripada keseluruhan 1,264,541 pelajar di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, seramai 159,138 orang atau 12.6 peratus merupakan pelajar antarabangsa.
“Di universiti awam pula, pelajar antarabangsa berjumlah 56,565 orang daripada keseluruhan 634,706 pelajar bersamaan 8.9 peratus.
“Bagaimanapun jika dilihat mengikut peringkat pengajian, kira-kira 96 peratus daripada 520,105 pelajar prasiswazah di UA ialah rakyat Malaysia, manakala pelajar antarabangsa hanya mewakili 3.44 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, sebahagian besar pelajar antarabangsa sebenarnya tertumpu di peringkat pascasiswazah khususnya program sarjana dan kedoktoran.
"Kemasukan ke peringkat itu bergantung kepada kelayakan akademik, kepakaran penyelia serta kapasiti penyelidikan universiti, bukannya bersaing secara langsung dengan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi mendapatkan tempat di peringkat prasiswazah.
"Universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sememangnya mempunyai enrolmen pelajar antarabangsa yang lebih tinggi," ujarnya.
Kata beliau, keadaan itu sejajar dengan mandat universiti penyelidikan yang memberi tumpuan kepada penyelidikan, inovasi, penerbitan ilmiah dan pembinaan jaringan akademik di peringkat global.
“Keberadaan pelajar antarabangsa khususnya di peringkat pascasiswazah turut menyokong ekosistem penyelidikan menerusi penghasilan ilmu, kolaborasi rentas negara dan pengukuhan reputasi akademik universiti.
"Daripada sudut ekonomi, pelajar antarabangsa membayar yuran pengajian tanpa subsidi kerajaan selain menyumbang kepada ekonomi tempatan menerusi perbelanjaan bagi penginapan, pengangkutan dan keperluan harian," tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan pengantarabangsaan universiti tidak seharusnya diukur berdasarkan sumbangan kewangan semata-mata.
“Yang lebih penting ialah sejauh mana kehadiran mereka mampu meningkatkan mutu penyelidikan, pengalaman pembelajaran, kepelbagaian intelektual serta jaringan global universiti,” katanya.
Dalam pada itu, Devisakti mengakui kebimbangan masyarakat terhadap peluang pelajar tempatan untuk memasuki universiti awam tidak boleh dipandang ringan.
Justeru, katanya, usaha pengantarabangsaan perlu disertai dengan tadbir urus kemasukan yang telus, pemantauan kapasiti program, perlindungan kuota pelajar tempatan serta pelaburan berterusan dalam prasarana, biasiswa dan kualiti pengajaran.
Menurut beliau, perbahasan mengenai isu berkenaan tidak seharusnya diletakkan dalam kerangka memilih antara pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa.
“Persoalan yang lebih penting ialah sama ada sistem kemasukan dikendalikan secara adil, berasaskan kapasiti dan selaras dengan kepentingan negara.
“Selagi tempat pelajar tempatan terus dilindungi, proses kemasukan dipantau secara telus dan pengantarabangsaan membawa manfaat akademik yang nyata, kehadiran pelajar antarabangsa bukan ancaman sebaliknya mampu memperkukuh mutu universiti serta kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

