PATI tumpang tinggal di surau sementara dapat kerja

PASIR MAS – Hasrat dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh yang berhijrah ke Kelantan untuk mencari pekerjaan lebih baik gagal selepas mereka diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) dan didapati menumpang di sebuah surau di Kampung Beting Pauh di sini pada Selasa.
Kedua-dua lelaki berusia 21 tahun itu ditahan dalam rondaan Op Taring Wawasan kira-kira jam 2 pagi ketika berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan, sebelum pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Strike Force/Tiger Platoon Kompeni A Batalion 9 PGA Kuala Terengganu bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menahan kedua-dua suspek ketika menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, hasil soal siasat mendapati kedua-dua lelaki terbabit mengaku memasuki Malaysia dari Thailand melalui sebuah pangkalan haram yang mereka sendiri tidak mengetahui nama serta lokasinya.
"Mereka mengaku memasuki Malaysia pada Januari 2025 sebelum menetap di Pasir Gudang, Johor dan bekerja sebagai buruh binaan dengan upah RM30 sehari.
"Kedua-duanya kemudian datang ke Kelantan kira-kira tujuh hari lalu untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik dan sepanjang berada di negeri ini mereka menumpang di sebuah surau di Kampung Beting Pauh," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Ujar beliau, pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek tidak menemukan sebarang barangan menyalahi undang-undang, namun mereka ditahan kerana gagal memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Tambahnya, kedua-dua lelaki itu telah diserahkan kepada BSJD IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

