Pasar haram warga asing pula digempur

KLANG - Aktiviti pasar haram membabitkan warga asing di Jalan Pelaburan, Klang Utama di sini digempur dalam operasi bersepadu yang dijalankan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Operasi membabitkan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa MBDK itu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan penjaja tanpa lesen serta memastikan semua premis perniagaan dan penjaja mematuhi undang-undang kecil serta syarat pelesenan yang ditetapkan.
MBDK memaklumkan, tindakan sitaan dikenakan terhadap 10 penjaja warga asing yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.
"Antara barangan yang disita ialah alat penimbang, sayur-sayuran, ayam hidup, meja, kerusi dan buah-buahan sebelum dibawa ke depot.
"Selain itu, dua premis perniagaan turut dikenakan tindakan sitaan membabitkan sebuah kedai makan dan premis nombor ramalan haram," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Menurut MBDK, pihak penguat kuasa turut menyita dapur gas dan tong gas petroleum cecair (LPG), kipas dan alat penimbang di kedai makan, manakala di premis nombor ramalan haram pula, sebuah pencetak mudah alih serta telefon bimbit dirampas.
MBDK menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau premis yang melanggar undang-undang demi memastikan ketenteraman, keselamatan dan kesejahteraan komuniti di Klang.
"Dalam operasi sama, tiga kompaun turut dikeluarkan atas pelanggaran Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007 serta UUK Iklan (MPK) 2007," ujar kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

