Tiga PATI diberkas tangkap ikan secara haram

PELABUHAN KLANG – Kegiatan mencurigakan sebuah bot nelayan membongkar tindakan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai menjalankan aktiviti perikanan secara tidak sah di perairan Pulau Ketam pada Selasa.
Kesemua lelaki warga Indonesia dan Myanmar itu diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor selepas bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki dikesan dalam rondaan rutin di kawasan berkenaan.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan rondaan di bawah Op Ehsan, Op Tiris 4.0 dan Op Khas Tanjung Siri 2 pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika di utara Pulau Klang.
Beliau berkata, bot berkenaan dipintas dan diperiksa selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga Indonesia berusia 26 tahun bersama dua awak-awak terdiri daripada seorang warga Indonesia dan seorang warga Myanmar berusia antara 26 hingga 32 tahun.
"Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati bot berkenaan sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah kelong ikan di Pulau Ketam.
"Tekong terbabit turut gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan vesel serta disyaki melanggar peruntukan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
"Kesemua suspek bersama bot berkenaan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana mengendalikan bot yang tidak berdaftar serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim, terutama aktiviti perikanan haram dan kemasukan warga asing tanpa izin yang boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan sumber perikanan negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Selangor untuk tindakan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

