Padah simpan tong gas lebih had

Antara tong gas LPG yang disita KPDN Perak dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Batu Kurau, Taiping pada Isnin.
Antara tong gas LPG yang disita KPDN Perak dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Batu Kurau, Taiping pada Isnin.
A
A
A

TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 80 tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 14 kilogram (kg) dalam satu operasi di sebuah kedai runcit di sekitar Batu Kurau di sini pada Isnin.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, rampasan itu dilakukan dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Cawangan Taiping kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan menyimpan barang kawalan iaitu LPG 14kg sebelum notis di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat berkaitan pemilikan bekalan tersebut.

"Hasil maklum balas notis mendapati premis itu mempunyai lesen berniaga runcit barang kawalan serta memiliki bekalan semasa LPG sebanyak 1,120kg.

"Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati jumlah simpanan itu melebihi had kuantiti yang dibenarkan di bawah lesen perniagaan premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kamalluddin berkata, susulan itu pihaknya menyita 80 tong LPG 14kg bersama dokumen berkaitan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM8,528 bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda hingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan hingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kamalludin menggesa orang ramai supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi bagi membantu membanteras ketirisan subsidi kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!