Disangka cuma nak pitam, rupanya hidap leukemia kronik

KUALA NERANG – Seorang pesakit leukemia tidak menyangka perubahan fizikal yang dialaminya empat tahun lalu, termasuk penurunan berat badan secara mendadak dan kerap berasa mahu pitam, rupa-rupanya petanda awal kanser darah yang mengubah seluruh perjalanan hidupnya.
Ummi Husna Rosnain, 24, berkata, dia disahkan menghidap leukemia myeloid kronik (CML) pada tahun 2022 ketika berada di semester akhir Diploma Pengurusan Pejabat di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, sebelum disahkan menghidap kanser, dia hanya menyedari perutnya semakin membesar akibat limpa yang membengkak selain kehilangan berat badan daripada 60 kilogram (kg) kepada 40kg dalam tempoh kira-kira sebulan.
"Saya tidak rasa saya sakit sebab tidak mengalami demam atau simptom lain, cuma saya sering rasa nak pitam apabila mengangkat barang seperti bakul pakaian.
"Saya tak sangka rupa-rupanya itu petanda kanser," katanya ketika ditemui sempena kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini kamal yang turut menyampaikan sumbangan di rumahnya di Kampung Padang Cenderai di sini.
Ummi Husna berkata, selepas disahkan menghidap leukemia, dia terpaksa menangguhkan pengajian selama kira-kira enam bulan bagi menjalani rawatan.
Bagaimanapun, dia bersyukur apabila berjaya menyambung semula pengajian sebelum menamatkan diploma pada tahun 2023.
Menurutnya, dia kemudian bekerja sebagai pembantu pentadbiran di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur dan berusaha meneruskan kehidupan seperti biasa meskipun terpaksa berdepan kesan sampingan rawatan.
"Saya tetap pergi kerja dengan menaiki tren walaupun kaki dan muka bengkak. Ada masanya saya muntah akibat kesan ubat kemoterapi yang diambil secara oral setiap hari.
"Saya fikir sakit boleh tahan, asalkan saya dapat terus bekerja dan bantu keluarga sebab saya anak sulung," ujarnya.

Katanya, bapanya hanya melakukan kerja-kerja kampung manakala ibunya seorang suri rumah, menyebabkan dia bertekad membantu meringankan beban keluarga.
Namun, sejak awal tahun ini, keadaan kesihatannya semakin merosot apabila bacaan sel darah putih meningkat selain kerap mengalami demam, muntah dan sesak nafas.
Keadaan itu menyebabkan dia dimasukkan ke Hospital Ampang sebanyak tiga kali termasuk dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari.
"Sewaktu berada di ICU, saya hampir ditidurkan tetapi tidak jadi kerana kadar oksigen kembali normal.
"Selepas keluar ICU, saya pula mengalami masalah penglihatan akibat jangkitan kuman sehingga terpaksa menerima suntikan antibiotik pada mata kanan setiap minggu," katanya.
Menurut Ummi Husna, selain berdepan masalah penglihatan, dia juga mengalami kesukaran berjalan kerana sering hilang imbangan badan.
Katanya, keadaan tersebut menyukarkannya untuk kembali bekerja seperti sebelum ini.
Bagaimanapun, semangatnya untuk membantu keluarga tidak pernah luntur apabila dia masih berusaha mencari peluang pekerjaan walaupun berdepan pelbagai cabaran kesihatan.
"Saya baru-baru ini turut menghadiri temu duga untuk bekerja di sebuah kilang kerana masih berharap dapat bekerja semula dan membantu keluarga," katanya lagi.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB bernombor 7634187119 atas nama Ummi Husna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

