Gangguan monyet liar memaksa peniaga di R&R Sungai Perak gantung patung ular

Pelbagai langkah diambil peniaga bagi menghalang kehadiran haiwan itu termasuk meletakkan patung ular di tiang laluan, dinding dan sekitar premis jualan sebagai usaha menakut-nakutkan monyet.
Pelbagai langkah diambil peniaga bagi menghalang kehadiran haiwan itu termasuk meletakkan patung ular di tiang laluan, dinding dan sekitar premis jualan sebagai usaha menakut-nakutkan monyet.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Gangguan monyet liar yang dilaporkan berlaku di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah utara menjejaskan keselesaan pengunjung serta operasi peniaga yang berdepan risiko kehilangan barangan dan ancaman keselamatan hampir setiap hari.

Tinjauan di lokasi pada Selasa mendapati, pelbagai langkah diambil peniaga bagi menghalang kehadiran haiwan itu termasuk meletakkan patung ular di tiang laluan, dinding dan sekitar premis jualan sebagai usaha menakut-nakutkan monyet.

Rata-rata peniaga mengakui masalah berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama dan semakin membimbangkan apabila haiwan itu bertindak semakin berani menghampiri manusia.

Difahamkan, kawasan semak dan belukar berhampiran yang dipercayai menjadi habitat monyet turut dipagari serta dipasang kawat berduri, namun langkah itu masih belum berkesan sepenuhnya.

Peniaga buah, Salina Saad, 57, berkata, kehadiran monyet di kawasan itu berlaku dalam kawanan yang besar antara 20 hingga 30 ekor.

“Sekali dia datang, memang ‘kaw-kaw’ dia serang. Dia akan pergi merata tempat, terutama kawasan yang ada makanan.

“Kalau kita leka sedikit sahaja, memang dia akan ambil. Dia tak takut dengan manusia, malah kalau kita marah, dia akan mengeluarkan bunyi seolah melawan,” katanya.

Menurutnya, antara barangan yang sering menjadi sasaran termasuk buah-buahan seperti mangga selain makanan ringan yang mudah dicapai.

Sementara itu, pekerja stesen minyak, Muhd Asyraf Mohd Idris, 23, mendakwa antara faktor utama gangguan monyet berpunca daripada tindakan segelintir pengunjung yang memberi makan kepada haiwan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu katanya, menggalakkan kehadiran monyet di kawasan tersebut sekali gus menyebabkan haiwan itu semakin berani.

"Boleh dikatakan hampir setiap hari gangguan monyet berlaku. Paling kurang, monyet-monyet ini akan sepahkan tong sampah untuk cari makanan," katanya.

Beliau berkata, dalam pengetahuannya, terdapat kes pelanggan digigit monyet kira-kira sebulan lalu sehingga mengalami kecederaan.

“Kita halau pun, tak takut, kadang-kadang kumpulan monyet itu kejar kita balik,” katanya.

Terdahulu, PLUS Malaysia Berhad dalam satu notis memaklumkan R&R Sungai Perak arah utara akan ditutup sementara pada Selasa bagi memberi laluan kepada operasi khas menangani gangguan monyet liar.

Menurut PLUS, operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungai Siput bermula jam 2.30 petang hingga 5 petang.

Penutupan itu turut melibatkan stesen minyak bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya dan petugas, selain melancarkan perjalanan operasi.

Dalam pada itu, peniaga makanan mahu dikenali sebagai Farah, 29, berkata, gangguan monyet kebiasaannya berlaku pada waktu siang ketika kehadiran pengunjung yang ramai.

Ujarnya, paling membimbangkan apabila monyet liar itu kini semakin berani sehingga masuk ke dalam premis dan mencuri makanan.

"Saya harap operasi tangkapan yang dijalankan Perhilitan dapat membantu selesaikan masalah ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!