KUANTAN - Syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Anih Berhad akan menghentikan kerja-kerja penyelenggaran terowong Genting Sempah pada 20 Januari hingga 13 Februari ini sempena cuti Tahun Baharu Cina dan Thaipusam.

Syarikat itu dalam kenyataannya memaklumkan bahawa ketetapan itu adalah selaras dengan arahan kerja Kementerian Kerja Raya, yang melarang kerja-kerja penyelenggaran dilakukan pada musim perayaan.

Jumaat lepas, Anih Berhad memaklumkan penutupan sementara terowong Genting Sempah dari 8 pagi hingga 5 petang selama 60 hari bermula 10 Januari ini bagi menjalankan kerja-kerja peyelenggaran dalam terowong.

Penutupan itu melibatkan arah Kuala Lumpur pada 10 Januari hingga 16 Februari manakala penutupan arah Kuantan pada 20 Februari hingga 22 Mac.

Anih Berhad juga akan mengaktifkan laluan kontra sepanjang tempoh itu.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penangguhan itu memudahkan pengguna yang mahu pulang ke kampung pada musim perayaan.

Sehubungan itu, beliau berharap pengguna dapat merancang perjalanan mereka.

"Pihak kementerian dan Anih Berhad sependapat bahawa kerja penyelenggaraan dalam terowong Genting Sempah perlu dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan dan pada masa sama, mengambil kira kepentingan pengguna jalan raya," katanya.

Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menganggap keputusan menghentikan kerja penyelenggaran itu dapat mengurangkan kesesakan di laluan itu semasa musim perayaan. - Bernama