BENTONG - Usahawan kini perlu bijak dan kreatif menggunakan media sosial sebagai kaedah alternatif bagi meningkatkan hasil jualan produk mereka serta potensinya kerana pemasaran atas talian kini penting.

Pengasas Richmind World, Noh Anuar berkata, trend menjual barangan dalam internet kini mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya generasi muda seiring peningkatan dan perkembangan sektor berasaskan Internet di negara ini.

Menurutnya, ramai golongan muda kini menceburi bidang ini sebagai usaha menambah dan menampung perbelanjaan harian akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ramai yang memilih untuk berniaga di media sosial kerana produk kita mudah untuk dipasarkan di seluruh Malaysia tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar untuk membuat pemasaran.

“Bagi pembeli, mereka membeli dalam internet berdasarkan beberapa faktor seperti harga yang lebih murah, boleh membuat perbandingan dengan pelbagai pilihan dalam satu-satu masa, tidak perlu bersesak untuk meletak kenderaan dan membuat bayaran serta beberapa faktor lain.

“Bagi yang belum mencuba menjual produk mereka di media sosial, perkara ini amat perlu dilakukan terutamanya bagi suri rumah atau mereka yang tiada pendapatan tetap sebagai usaha menambah dan menampung perbelanjaan harian akibat kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui selepas memberi ceramah dalam Bengkel Digital Pemasaran Online di sini, kelmarin.

Program dianjurkan oleh Maju Bentong dengan kerjasama Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Batu Satu itu berjaya menarik kira-kira 70 peserta untuk menyertai bengkel yang rata-rata peserta merupakan usahawan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Penggerak Ummah Daerah Bentong, Mohd Hanifah Ismail berkata, bukan sahaja dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang menceburi sektor perniagaan dalam media sosial namun dapat juga menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan generasi muda Menurutnya, bidang pekerjaan itu sangat mudah bagi mereka kuasai disebabkan asasnya adalah Internet yang menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi muda hari ini.

“Bagi mereka yang berniaga, mereka boleh menggunakan peluang ini untuk mempromosikan produk melalui internet yang mana produk mereka bukan hanya dapat dilihat oleh orang Bentong malah seluruh Malaysia dapat melihat produk mereka.

“Saya berharap dengan adanya program ini, ianya dapat membantu komuniti dalam menguruskan aktiviti seharian dan menambah ilmu pengetahuan penduduk setempat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Keputusan meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah ekoran komitmen terhadap anak-anak yang masih kecil tidak menjadi penghalang buat seorang suri rumah untuk terus berkecimpung dalam bidang pendidikan.
  • MARANG - Berpegang kepada prinsip tidak mudah berputus asa, wanita di Kampung Pengkalan Star, di sini terutamanya golongan suri rumah dan ibu tunggal berjaya membuktikan mampu mengubah kehidupan mereka dari 'zero ke hero' menjadi usahawan.
  • AYER KEROH - Penganjuran Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2017 mendapat sambutan positif dengan lebih 150 penyertaan usahawan pelbagai sektor yang akan bermula 18 hingga 24 Disember ini.
  • KUALA TERENGGANU - Terengganu Wood & Lifestyle Fair 2017 dijangka memberi pulangan melebihi RM1 juta kepada usahawan-usahawan yang terlibat dalam pameran yang berlangsung selama lima hari berakhir 29 November ini.
  • KUALA LUMPUR - Seramai 700 peserta hadir pada program Skim Bantuan Usahawan Siri 5 bertempat di Dewan Seri Iskandar Setiawangsa, di sini anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, semalam.