Tiada lagi lesen, ladang babi Tanjung Sepat wajib dikosongkan

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengesahkan tiada lagi pembaharuan lesen diberikan kepada semua penternak babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat dan kawasan terbabit wajib dikosongkan sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, proses pengosongan ladang berkenaan kini sedang berjalan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan yang diberikan oleh kerajaan negeri.
Tegas beliau, tindakan itu diambil selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk isu pencemaran serta ancaman penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang dikesan masih aktif di kawasan terbabit.
“Keputusan kerajaan negeri ialah kita tidak akan memperbaharui lesen mereka dan kini berada dalam proses pengosongan.
“Kita beri tempoh enam bulan atau sehingga suku ketiga tahun ini untuk mereka menyelesaikan baki ternakan yang ada dan selepas itu, kawasan tersebut mesti dikosongkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kenderaan dan Jentera Baharu serta Surat Setuju Terima (SST) bagi Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri Selangor di Stadium Mini JKR Selangor, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Izham menjelaskan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor sentiasa melakukan pemantauan ketat terhadap baki ternakan yang masih ada.
“Jika dalam tempoh pengosongan ini didapati terdapat ternakan yang positif penyakit ASF, kita tidak akan menunggu dan akan terus melupuskannya.
“Hanya babi yang negatif (sihat) sahaja dibenarkan dibawa keluar ke pusat penyembelihan untuk tujuan pelupusan secara berperingkat,” tambahnya.
Beliau mendedahkan, jumlah ladang di kawasan itu kini menunjukkan penurunan daripada 30 ladang sebelum ini susulan tindakan tegas yang diambil kerajaan negeri.
Menurutnya, penternak juga telah diingatkan supaya tidak memulakan pusingan ternakan baharu termasuk kemasukan anak babi sepanjang tempoh pelupusan dijalankan.
Mengenai bantahan penduduk Bukit Tagar yang menuntut supaya cadangan pemindahan ladang babi dari Tanjung Sepat, Kuala Langat ke Bukit Tagar dibatalkan sepenuhnya, Izham berkata sehingga kini kerajaan negeri masih belum memuktamadkan sebarang lokasi bagi projek berkenaan.
Beliau mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mendesak pembatalan projek sedangkan kajian dan pemilihan lokasi masih berada di peringkat penelitian.
“Kita belum memuktamadkan mana-mana lokasi dan tiada sebarang projek dimulakan lagi. Kerajaan negeri bertanggungjawab dan akan meneliti dengan teliti lokasi yang paling sesuai.
“Saya pernah menyebut Bukit Tagar kerana terdapat ladang milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk, namun itu hanya salah satu pilihan dan masih banyak alternatif lain sedang dipertimbangkan,” katanya.
Sementara itu, Izham berkata, kerajaan negeri tidak membiarkan penternak kehilangan punca pendapatan, sebaliknya telah mengatur pertemuan dengan pelabur teknologi moden bagi menentukan hala tuju masa depan industri berkenaan.
“Saya telah mengatur pertemuan antara penternak dan pelabur teknologi moden. Kita mahu mereka beralih kepada kaedah penternakan tertutup yang lebih bersih dan mesra alam seperti yang sedang dibangunkan di Sungai Siput, Perak.
“Sekiranya mereka ingin meneruskan industri ini, mereka perlu mematuhi kriteria teknologi moden yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk serta punca air,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor tidak akan memperbaharui lesen penternak babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat
- Pengosongan ladang dilakukan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan
- Tindakan diambil kerana isu pencemaran dan ancaman penyakit Demam Babi Afrika
- Penternak diberi tempoh sehingga suku ketiga tahun ini untuk menyelesaikan baki ternakan
- Kerajaan negeri mengatur pertemuan dengan pelabur teknologi moden untuk masa depan industri penternakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

