Harga aluminium tinggi punca kes kecurian kabel meningkat - Izham

SHAH ALAM - Nilai aluminium yang tinggi di pasaran dikenal pasti sebagai antara faktor utama peningkatan kes kecurian kabel, khususnya melibatkan lampu jalan dan infrastruktur jalan raya di Selangor.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, peningkatan harga logam itu mendorong kegiatan kecurian berbanding sebelum ini yang banyak membabitkan kabel berasaskan tembaga.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan kerugian besar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), dengan jumlah kerugian dilaporkan mencecah jutaan ringgit, terutama sepanjang tahun lalu.
“Aluminium ini nilainya tinggi sekarang. Jika dahulu kebanyakan kabel menggunakan tembaga, namun kini aluminium masih dikekalkan dan menjadi sasaran kecurian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kenderaan dan Jentera Baharu serta Surat Setuju Terima (SST) bagi Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri Selangor di Stadium Mini JKR Selangor, di sini, pada Isnin.
Izham berkata, isu kecurian kabel turut dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat pemukiman Jawatankuasa Tetap Negeri susulan peningkatan kes yang semakin serius dan berleluasa kebelakangan ini.
Jelasnya, kerajaan negeri sedang mengumpulkan data serta inventori kerugian daripada JKR, TNB dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan gambaran sebenar tahap keseriusan isu berkenaan.
“Kerugian bukan sahaja melibatkan kos penggantian kabel, malah menjejaskan keselamatan serta kemudahan awam seperti lampu jalan,” katanya.
Izham berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan pihak keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat bagi merangka langkah proaktif untuk membendung kegiatan kecurian terbabit.
Beliau memaklumkan, penggunaan lampu jalan berasaskan tenaga solar sedang diperluaskan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kabel bawah tanah yang mudah menjadi sasaran pencuri.
“Kita akan memaklumkan angka rasmi mengenai kerugian sebenar yang dialami serta tindakan lanjut selepas perbincangan dengan semua pihak berkaitan selesai,” tambah beliau.
Ringkasan AI
- Nilai aluminium yang tinggi di pasaran antara faktor utama peningkatan kes kecurian kabel di Selangor
- Peningkatan harga aluminium mendorong kegiatan kecurian berasaskan kabel aluminium berbanding tembaga
- Kerugian besar dialami oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan jumlah kerugian mencecah jutaan ringgit
- Isu kecurian kabel dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Negeri kerana kes semakin serius
- Kerajaan negeri merancang pertemuan dengan pihak keselamatan untuk mengadakan langkah proaktif membendung kecurian kabel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

