BANDARAYA MELAKA - Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM10 juta sebagai bajet awal bagi penyelenggaraan dan pembinaan kemudahan di Pulau Besar, di sini dalam usaha mempromosikan pulau berkenaan sebagai salah satu destinasi pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, peruntukan awal berkenaan adalah bagi kerja pembaikan masjid serta medan selera di pulau itu, selain pembinaan sebuah Maahad Tahfiz.

Buat permulaan, katanya, kerajaan negeri akan menumpukan pada pembangunan asas terlebih dahulu sebelum disusuli pembinaan kemudahan lain, termasuk sebuah medan selera bertaraf antarabangsa.

“Kerja penyelenggaraan serta pembinaan di Pulau Besar ini dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun,” katanya sebagai mengulas usaha kerajaan negeri membangunkan Pulau Besar sebagai sebuah pulau pelancongan di negeri ini.

Menurut Idris, kerajaan negeri menjangkakan, apabila segala kerja pembaikan dan pembinaan kemudahan di pulau itu siap kelak, ia berupaya menjadi sebuah pulau peranginan bertaraf antarabangsa yang mampu menarik kunjungan ramai.

Beliau berkata, proses pembangunan di pulau berkenaan akan dijalankan berperingkat-peringkat.

“Kerajaan negeri yakin projek penyelenggaraan dan pembangunan di pulau ini akan mampu menarik sejumlah besar pelancong. Pada masa sama menjadi antara penyumbang besar kepada ekonomi Melaka,” katanya.

Projek pembangunan di Pulau Besar adalah susulan pembekalan elektrik 24 jam ke pulau berkenaan merentasi Selat Melaka dari Pantai Siring, Serkam ke pulau berkenaan bagi menggantikan generator yang sebelum ini digunakan bagi menghasilkan bekalan elektrik.

Projek yang dimulakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada November 2012.