Kes penipuan dalam talian di Taiping naik 81 peratus, hampir RM19 juta lesap

Mohamad Nasir menyiram pokok celagi (asam jawa) sebagai gimik perasmian program 'High Profile Policing' (HPP) di Balai Polis Pokok Assam, Taiping pada Selasa.
Mohamad Nasir menyiram pokok celagi (asam jawa) sebagai gimik perasmian program 'High Profile Policing' (HPP) di Balai Polis Pokok Assam, Taiping pada Selasa.
A
A
A

TAIPING - Kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian di Taiping mencatatkan kerugian hampir RM19 juta tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 791 kertas siasatan dibuka, sekali gus menunjukkan peningkatan 81 peratus berbanding RM14.27 juta tahun sebelumnya.

"Bagi kes penipuan melalui panggilan telefon atau phone scam, nilai kerugian direkodkan meningkat kepada RM5.32 juta pada 2025 berbanding RM4.64 juta pada tahun sebelumnya.

"Penipuan membabitkan pelaburan tidak wujud dalam talian turut menunjukkan nilai kerugian yang tinggi iaitu RM5.57 juta pada tahun lalu berbanding RM6.07 juta pada 2024," katanya kepada pemberita sempena program 'High Profile Policing' (HPP) di Balai Polis Pokok Assam, di sini pada Selasa.

Mohamad Nasir berkata, statistik mangsa menunjukkan bilangan hampir seimbang membabitkan 402 wanita dan 389 lelaki dengan kebanyakan mereka dalam kalangan warga emas yang mempunyai simpanan pencen dan pelbagai ganjaran perkhidmatan.

Katanya, kebanyakan mangsa terperdaya dengan tawaran skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, selain mudah mempercayai panggilan telefon atau mesej daripada individu tidak dikenali.

"Rekod kita menunjukkan, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berjaya menyekat RM77,726 wang jenayah penipuan dalam talian yang dilaporkan di Taiping dengan RM32,740 berjaya dikembalikan kepada mangsa," katanya.

Beliau menambah, Polis Daerah Taiping akan mempergiatkan program kesedaran secara bersasar termasuklah sesi penerangan di sekolah-sekolah bagi membolehkan pelajar menyampaikan maklumat berkaitan jenayah penipuan kepada ahli keluarga, terutama golongan berusia.

"Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) ketika ini turut meningkatkan risiko penipuan apabila sindiket berupaya meniru suara individu tertentu bagi memperdaya mangsa.

"Keadaan ini menjadikan jenayah penipuan semakin sofistikated dan sukar dikesan sekiranya masyarakat tidak berwaspada,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian di Taiping mencatatkan hampir RM19 juta tahun lalu
  • Terdapat peningkatan 81 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 791 kertas siasatan dibuka
  • Hampir seimbang bilangan mangsa membabitkan 402 wanita dan 389 lelaki, kebanyakan warga emas
  • Pusat Respons Penipuan Kebangsaan berjaya menyekat RM77,726 dan mengembalikan RM32,740 kepada mangsa
  • Polis akan mempergiatkan program kesedaran keselamatan siber di sekolah-sekolah dan meningkatkan kesedaran terhadap risiko penipuan sofistikated akibat AI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!