Ratusan buaya di kolam ternakan cetus kebimbangan awam

PENAMPANG - Rakaman video memaparkan ratusan buaya di sebuah kolam ternakan di daerah ini mengundang kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya terhadap kemungkinan haiwan berkenaan terlepas dan memasuki sungai berhampiran.
Menerusi satu hantaran di Facebook yang disertakan video berdurasi 19 saat, memaparkan sejumlah besar buaya berada di dalam sebuah kolam ternakan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Menurut pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Joy Missi, kewujudan lokasi ternakan buaya berkenaan menimbulkan tanda tanya, lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini semakin banyak buaya dilihat muncul di Sungai Moyog.
"Macam kamu tidak percayakan ini tempat wujud di Penampang. Dengar-dengar, yang pelihara binatang ini mereka ada lesen.
"Tapi semenjak dua menjak ini, Sungai Moyog makin banyak sudah haiwan ini berenang-renang, dari mana datang kita pun tidak tahu," tulisnya.
Menurut hantaran itu lagi, sebelum ini Sungai Moyog tidak pernah dikaitkan dengan kehadiran buaya, namun situasi kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
"Tapi setahu saya dulu, Sungai Moyog tiada buaya, sekarang ada sudah.. kita sendiri fikirlah kan.
"Jadi orang ramai semua pun takut sudah mahu pergi mandi sungai atau beraktiviti di dekat sungai di sini sekarang," katanya.
Rakaman video yang dimuat naik sejak Isnin itu turut mengundang perhatian warga maya yang menyatakan kawasan tersebut mempunyai lesen untuk ternakan buaya.
Bagaimanapun menerusi komen juga, warga maya meminta supaya binaan struktur pagar dapat diselenggara bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan susulan tularnya video berkenaan.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di sebuah ladang penternakan buaya di kawasan Penampang.
"Hasil pemeriksaan mendapati ladang tersebut beroperasi secara sah dan memiliki lesen jual beli daging buaya yang sah yang dikeluarkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
"Dalam masa sama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang akan terus komited dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.
Ringkasan AI
- Rakaman video menunjukkan ratusan buaya dalam kolam ternakan di Penampang mengundang kebimbangan keselamatan
- Kewujudan ternakan buaya dikaitkan dengan peningkatan penampakan buaya di Sungai Moyog
- Penduduk setempat bimbang buaya terlepas masuk ke sungai dan mengancam keselamatan
- Ladang buaya beroperasi secara sah dengan lesen dari Jabatan Hidupan Liar Sabah
- Polis telah menjalankan pemeriksaan dan menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi yang menimbulkan kegusuran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
