MBI Selangor, CARSOME Academy taja belia B40 latihan automotif berkemahiran tinggi

(Dari Kiri) Saipolyazan, Jiun Ee, Amirudin dan Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor bersama penerima biasiswa di bawah Yayasan MBI.
(Dari Kiri) Saipolyazan, Jiun Ee, Amirudin dan Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor bersama penerima biasiswa di bawah Yayasan MBI.
A
A
A

KLANG - Belia daripada keluarga B40 diberi keutamaan mengikuti latihan automotif bertauliah di bawah Program Biasiswa Hero-in-Auto bernilai RM115,000 bagi memperkasa golongan tersebut dalam bidang automotif berkemahiran tinggi.

Program tersebut dirangka bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) melalui Yayasan MBI dengan kerjasama strategik bersama CARSOME Academy.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Saipolyazan M Yusop berkata, pihaknya percaya pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) menjadi salah satu jalan paling efektif untuk membuka peluang menambah baik status sosial dan ekonomi.

Justeru, katanya, kerjasama tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perkongsian angka panjang bersama CARSOME Academy bagi memperkukuh peranan Selangor sebagai pusat pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi.

"Melalui kerjasama dengan rakan industri yang komited, kami berhasrat untuk mewujudkan peluang mampan kepada golongan belia serta menyokong agenda pembinaan negara Malaysia secara menyeluruh.

"Di sinilah CARSOME Academy memainkan peranan penting sebagai institusi yang dibentuk oleh pemain industri sendiri. CARSOME mempunyai kelebihan tersendiri kerana latihan yang ditawarkan disusun berdasarkan kehendak sebenar majikan, menjadikan pelajar bukan sekadar mahir, tetapi memahami piawaian dan budaya kerja industri automotif," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Biasiswa oleh Yayasan MBI kepada Pelajar CARSOME Academy di sini pada Selasa.

Seramai lapan orang belia daripada keluarga B40 terpilih sebagai penerima biasiswa dan penyerahan biasiswa tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, CARSOME Academy dalam kenyataan berkata, kerjasama berkenaan memacu inisiatif Empoweryouth+ 2.0 oleh CARSOME Academy, sekali gus membuka peluang kepada belia B40 untuk mengikuti latihan automotif bertauliah di bawah rangka kerja TVET nasional serta melengkapkan mereka dengan kemahiran dan keyakinan bagi membina masa depan dalam industri automotif.

Pengasas Bersama Kumpulan CARSOME dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy, Teoh Jiun Ee berkata, ia juga mencerminkan matlamat bersama untuk memberi peluang sebenar kepada golongan belia Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Dengan melengkapkan belia Malaysia dengan kemahiran relevan industri serta pengalaman praktikal, program ini bukan sahaja mengubah kehidupan, malah memperkukuh ekosistem TVET negara dan melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia menghadapi masa hadapan, khususnya dalam sektor automotif.

"Seiring dengan pengalaman, graduan kami berpeluang untuk meningkat ke jawatan bergaji lebih tinggi seperti penasihat servis, penyelia bengkel atau penolong pengurus servis, dengan peningkatan pendapatan sehingga 130 peratus dalam tempoh lima tahun," katanya.

Secara keseluruhan, seramai 29 pelajar terdahulu telah menerima manfaat daripada program ini yang disokong oleh kerajaan negeri Selangor dan dilaksanakan dengan kerjasama CARSOME Academy, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam pembangunan bakat berkemahiran.

Program Biasiswa Hero-in-Auto yang dijalankan selama sembilan bulan ini merangkumi tiga bulan pembelajaran teori di dalam kelas, lima bulan latihan praktikal industri serta satu bulan persediaan kebolehkerjaan dan diakhiri dengan penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia.

Program tersebut merangkumi struktur pembelajaran 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori bagi memastikan graduan dilengkapi kompetensi yang selaras dengan keperluan serta piawaian industri semasa.

 

Ringkasan AI

  • Belia daripada keluarga B40 diberi keutamaan dalam Program Biasiswa Hero-in-Auto untuk latihan automotif bertauliah
  • Program diwujudkan bersama MBI Selangor dan CARSOME Academy untuk memperkasa golongan belia dalam bidang automotif
  • Tujuan program adalah untuk membuka peluang menambah baik status sosial dan ekonomi melalui pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET)
  • Lapan belia keluarga B40 terpilih sebagai penerima biasiswa dan program ini merangkumi struktur pembelajaran 70 peratus praktikal
  • Graduan berpeluang meningkat ke jawatan bergaji lebih tinggi dalam industri automotif dengan peningkatan pendapatan sehingga 130 peratus dalam lima tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!