‘Inilah wajah sebenar Malaysia’

Hantaran dimuat naik di Facebook memperlihatkan jururawat menyuap nasi menggunakan tangan kepada pesakit berbangsa India di Hospital Seberang Jaya. Foto Facebook Lingesh RA
Hantaran dimuat naik di Facebook memperlihatkan jururawat menyuap nasi menggunakan tangan kepada pesakit berbangsa India di Hospital Seberang Jaya. Foto Facebook Lingesh RA
A
A
A

SHAH ALAM - Tular satu video di TikTok dan Facebook memaparkan seorang jururawat Melayu menyuap pesakit berbangsa India sehinggakan tindakannya itu meraih pujian warga maya.

Berdasarkan hantaran dimuat naik Ahli Dewan Negara, R A Lingeshwaran, momen itu membuatkan warga maya terharu kerana jelas terpapar sisi keikhlasan seorang jururawat dalam menjalankan tugas dan menyantuni pesakit tanpa mengira kaum mahupun latar belakang.

Lingeshwaran menyifatkan detik itu sebagai wajah sebenar Malaysia yang senyap-senyap berbakti tanpa mengharapkan pujian atau sorotan kamera, hanya dengan keikhlasan hati.

“Tahniah kepada jururawat Nur Deena Nadziefa Musni dari Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Di saat manusia paling lemah, bukan bangsa yang dipandang, hanya kemanusiaan.

“Seorang jururawat Melayu menyuapkan makanan kepada pesakit India. Tiada diskriminasi, tiada beza warna kulit, agama atau latar belakang.

“Di atas katil hospital, kita semua sama. Seorang insan yang memerlukan kasih sayang, perhatian dan ihsan. Terima kasih jururawat kerana ketika kami tidak berdaya, andalah kekuatan kami,” katanya pada Isnin.

Hantaran dimuat naik Lingeswaran di dua platform tersebut menuai banyak komen positif dek tindakan murni jururawat tersebut, meskipun ada yang mengatakan ia sekadar rutin biasa dibuat ketika pesakit menerima rawatan.

Tidak kurang juga memuji jururawat tersebut kerana memiliki belas ihsan dan empati yang tinggi dalam menyantuni golongan lebih berusia serta sanggup meluangkan masa agar pesakit dapat makan dengan baik.

“Suap guna tangan, tak ada rasa geli pun. Tahniah jururawat yang bekerja dengan jiwa,” komen Shima Yusuf.

Artikel Berkaitan:

“Saya selalu tengok di Unit Hemodialisis Hospital Pulau Pinang, ramai jururawat tolong suapkan makanan, tukar lampin, bawa ke bilik air dan tolong pinjamkan bahu untuk pesakit nak bersandar,” kata Abbiey Altunia.

“Sifat kemanusiaan itu tidak pernah padam. Apabila kita mencintai kerjaya kita, semua orang sama tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama. Salam hormat kepada petugas kesihatan,” ujar Geetha Preto Kaur pula.

Ringkasan AI

  • Video jururawat Melayu menyuap pesakit India di TikTok dan Facebook mendapat pujian
  • Momen tersebut dipuji sebagai wajah sebenar Malaysia yang berbakti tanpa mengharap pujian
  • Jururawat tersebut ialah Nur Deena Nadziefa Musni dari Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang
  • Aksi menyuapkan makanan tanpa diskriminasi dianggap mewakili nilai kemanusiaan
  • Hantaran tersebut menuai komentar positif untuk belas ihsan dan empati jururawat terhadap pesakit

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!