Kasih sayang tidak kenal usia, Ammar setia jaga datuk sakit

SHAH ALAM – Walaupun masih muda, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun membuktikan bahawa kasih sayang dan tanggungjawab bukan diukur melalui usia, sebaliknya lahir daripada hati yang ikhlas.
Anak bongsu daripada tiga beradik, Muhammad Ammar Yusniman sangat rapat dengan datuknya, Abdul Mubin Mat Saleh, 76, yang kini menghidap pelbagai penyakit serius termasuk diabetes, kolesterol, penyakit jantung, anemia, amnesia, masalah hati, jaundis, saraf dan prostat.
Ibu Muhammad Ammar, Ismaliza Abdul Mubin, 40, berkata, hubungan akrab Ammar dengan datuknya terjalin sejak dia berpindah ke kampung halaman di Pahang pada tahun 2016, tidak lama selepas Ammar dilahirkan.
“Kami menyewa di hadapan rumah ibu bapa saya dan setahun kemudian, ibu meninggal dunia akibat komplikasi diabetes dan saraf. Selepas itu, kami berpindah masuk dan tinggal bersama ayah.
"Ketika nenek Ammar meninggal dunia pada 16 November 2017, Ammar baru berusia setahun lebih. Ketika itu, kesihatan datuknya pula mula merosot dan memerlukan rawatan serta pemeriksaan berkala di hospital.
“Saya yang selalu membawa ayah ke hospital. Waktu itu ayah masih boleh berdikari jadi dia selalu melayan Ammar,” ujarnya.
Ismaliza memberitahu, bagaimanapun pada tahun 2021 keluarganya sekali lagi diuji apabila berlaku perceraian dan ayah Ammar berkahwin lain serta meninggalkan mereka.
Jelasnya, ketika itu Ammar yang masih kecil dan seringkali menanyakan tentang bapanya.
“Dia tidak faham dan sering mencari ayahnya. Saya hanya mampu menjawab bahawa ayah bekerja jauh dan sibuk.
"Sejak itu, datuk Ammar mengambil peranan besar dalam kehidupan kami, dia yang selalu menghantar dan mengambil Ammar pulang dari sekolah, menyertai aktiviti serta hadir ke majlis graduasi," ulasnya.
Namun, segalanya berubah apabila Abdul Mubin terlibat dalam kemalangan pada Julai 2025 yang menyebabkan beberapa tulang leher patah selain memerlukan pemakaian alat sokongan ‘halo vest’ sehingga Oktober 2025.
Tambah Ismaliza, sejak dari itu kesihatan bapanya semakin merosot, hilang selera makan dan kerap dimasukkan ke hospital.
Ismaliza berkata, Ammar sangat terkesan setiap kali datuknya dimasukkan ke wad kerana bimbang tidak dapat menjaga dan menemani insan yang amat disayanginya itu.
Di rumah, walaupun masih kanak-kanak Ammar sering membantu menjaga datuknya seperti menadah air kencing, menyuapkan buah-buahan dan menemani ke tandas atau surau kerana keadaan kesihatan datuk yang lemah.
“Ke mana pun pergi saya akan bawa ayah bersama. Ammar pula akan membantu memegang dan menemani datuknya kerana risau ayah jatuh jika berjalan sendirian,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menunjukkan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap datuknya yang sakit pelbagai penyakit
- Muhammad Ammar Yusniman, anak bongsu daripada tiga beradik sangat rapat dengan datuknya, Abdul Mubin Mat Saleh
- Mereka mula tinggal bersama selepas ibu Ammar meninggal dunia dan kesihatan datuknya mula merosot
- Keluarga diuji dengan perceraian pada tahun 2021, meninggalkan Ammar sering mencari bapanya
- Ammar membantu menjaga datuknya dengan berbagai cara termasuk menyuapkan makanan dan menemani ke surau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

